
PETALING JAYA - Sharp-Roxy Sales & Service Company (M) Sdn. Bhd. (SRSSC), bahagian pemasaran rangkaian produk Sharp di Malaysia, menyasarkan untuk berada dalam kelompok tiga teratas dalam pengeluar televisyen paparan cecair kristal (LCD) di negara ini menjelang akhir tahun ini.
Penolong Pengurus Besar dan Penasihat Pemasaran Barangan Elektrik Pengguna SRSSC, Takayama Wakasumi berkata, sasaran tersebut bakal dicapai dengan meningkatkan rangkaian model dan penggunaan teknologi terkini dalam siri televisyen LCD Sharp.
"Kami juga bakal melancarkan rangkaian model terbaharu bagi siri televisyen LCD Aquos Quattron pada bulan Oktober ini.
"Siri Quattron adalah yang pertama menampilkan sistem empat warna asas, berbanding tiga warna asas pada televisyen konvensional, memberikan paparan yang lebih baik dan jelas," katanya pada majlis penyampaian sumbangan hari raya kepada rumah anak yatim, Rumah Ilham, Yayasan Anak-Anak Pinggir Taman Tun Dr. Ismail di sini baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis penyerahan sempena promosi The Hottest Raya Fair anjuran Sharp dan rangkaian barangan elektrik, komputer dan perabot terkemuka, Harvey Norman itu ialah Pengurus Besar Pemasaran Produk Elektrik Pengguna Kuala Lumpur Sharp, Bobby Tan; Pengurus Kanan Hubungan Pelanggan dan Pengiklanan Sharp, Mohd. Aref Ali dan Pengetua Rumah Ilham Yayasan Anak-anak Pinggir Taman Tun Dr. Ismail, Zolkefli Nordin.
Promosi yang berlangsung sejak 3 Ogos sehingga Ahad ini, di pusat beli- belah IPC di Mutiara Damansara di sini menawarkan pelbagai diskaun dan hadiah menarik selain peningkatan tempoh jaminan terhadap barangan Sharp terpilih.
Di samping itu, pengguna berpeluang meninjau pelbagai produk terbaharu Sharp, antaranya mesin basuh berbentuk silinder yang menjimatkan ruang kediaman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: