Wednesday, August 17, 2011

Sentuhan peribadi tarik minat pelanggan


KEDAI menjual acuan kuih-muih tradisional semakin berkurangan di Kampung Jawa dan kini ia didominasi oleh pengusaha fabrik dan pakaian.


ZAINAB ALI, 37, merupakan salah seorang pelanggan setia Man Ah memberitahu, tiada lokasi yang ideal di Melaka untuk mendapatkan acuan kuih-muih tradisional pada hari lebaran kecuali di kedai lelaki tersebut.

"Sejak zaman nenek saya lagi, semuanya saya beli di sini. Memang ada beberapa kedai di Kampung Jawa yang menjual barang tersebut, tapi bagi saya lebih banyak pilihan boleh didapati di kedai Man Ah.

"Paling menarik, kita boleh tawar menawar dengan taukenya yang baik hati," katanya yang berasal dari Bukit Rambai, Melaka.

Hal yang sama diakui oleh Mazenah Baba, 62. Katanya, sudah menjadi satu kelaziman pada musim perayaan, dia dan keluarganya akan ke Kampung Jawa untuk membeli peralatan membuat kuih.

"Di sini barangannya berkualiti tetapi murah, sebut saja apa jenis kuih semuanya ada," katanya.

Seperti kata Man Ah, kalau tiada proses tawar-menawar, itu bukan Kampung Jawa namanya.

Man Ah mengimbas harga yang pernah ditawarkannya pada era 70-an dan 80-an. Misalnya, acuan kuih bakar dahulunya hanya berharga RM50 berbanding RM80 pada hari ini. Begitu juga dengan alat parut kelapa yang cuma dijual pada harga RM6.

Sejak zaman berzaman, kata Man Ah, para pelanggannya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Apa yang lebih unik ialah di Melaka, kuih-muih tradisional Melayu bukan hanya mahir dilakukan oleh masyarakat Melayu.

Malah, ia mampu dihasilkan oleh masyarakat Cina, India, Serani, Baba Nyonya mahupun masyarakat Chitty.

Meskipun lot kedainya di Kampung Jawa tidak semegah kompleks beli-belah berhawa dingin yang lain, Man Ah tetap berbangga.

Ujarnya: "Orang-orang lama mesti datang ke kedai ini mencari barang-barang ini, mereka tak berapa gemar pergi ke emporium sebab di sana tak da sentuhan peribadi seperti di sini."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: