Sunday, August 7, 2011

Selamatkan budak merempat


YAYASAN SUNBEAMS HOME ditubuhkan atas dasar prihatin.



SAYANG Alvin terhadap kanak-kanak di Yayasan Sunbeams melebihi segala-galanya.


PESARA guru, Alvin Tan Ooi Seng, 67, tabah meneruskan kehidupannya selepas anak tunggalnya meninggal dunia lima tahun lalu. Alvin kemudian diduga pula dengan kematian isterinya, Lucy Lim Fong Tze, 67, pada April lepas.

Kehilangan dua insan penting dalam hidup Alvin menjadi tamparan hebat buatnya. Sungguhpun begitu, dia tidak mahu hidupnya terus dirundung duka.

“Mujur saya ada 85 ‘anak’ lagi. Inilah kekuatan saya untuk meneruskan kehidupan sekarang,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.

Alvin ialah pengasas Yayasan Sunbeams Home, sebuah rumah kebajikan di Ampang, Kuala Lumpur yang ditubuhkan untuk membela individu malang.

Menceritakan kisah awal penubuhan yayasan tersebut, Alvin memberitahu, ia bermula 16 tahun lalu apabila dia dan isterinya melihat seorang ibu mengendong bayi sambil memimpin seorang lagi anaknya mencari saki-baki makanan di kaki lima restoran.

“Mereka bertiga tiada rumah, tiada wang dan tiada keluarga yang ambil tahu.

“Mereka merempat di tepi jalan dan meneruskan hidup bergantung kepada simpati orang yang lalu-lalang.

“Keadaan tersebut sangat menyentuh hati saya dan isteri. Kami nekad membawa wanita itu pulang ke rumah dan merancang untuk menubuhkan rumah kebajikan ini,” kata Alvin yang sebelum itu sudah sembilan tahun membantu pelajar-pelajar miskin di sekolah tempatnya mengajar.

Dera

Memberi perlindungan kepada insan-insan kurang kemampuan yang masih bayi sehingga berumur 23 tahun, Alvin terus gigih menguruskan keperluan kanak-kanak berkenaan dengan bantuan 20 kakitangannya.

“Kebanyakan kanak-kanak yang tinggal di sini datang daripada keluarga bermasalah dan mangsa dera.

“Walaupun jumlahnya hanya 85 orang, saya memerlukan kos RM800,000 setahun untuk menampung kos penyelenggaraan serta sara hidup.

“Ia termasuk kos pakaian, makanan, keperluan lengkap sekolah, susu, makanan harian, kelas tambahan, seminar, sukan dan sebagainya.

“Saya memang galakkan mereka untuk aktif dalam pelbagai aktiviti sama ada di sekolah atau dalam masyarakat supaya mereka tidak berasa terpinggir apabila bersama rakan sebaya yang dibesarkan oleh keluarga,” katanya.

Untuk menampung perbelanjaan bulanan, mereka menerima sumbangan berbentuk wang dan barangan daripada pihak swasta, korporat, individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Alvin menambah, menguruskan puluhan kanak-kanak dalam satu rumah bukan perkara mudah.

“Saya mahu wujudkan suasana keluarga di rumah ini. Justeru, para penghuni bukan sahaja diberi perlindungan tetapi belaian kasih sayang sangat penting.

“Demi memastikan kanak-kanak gembira dan tidak dihantui pengalaman sedih, saya hanya menggaji wanita penyayang.

“Saya mahu jadikan rumah ini sebagai dunia gembira untuk semua penghuninya,” katanya.

Awalnya, untuk menempatkan kanak-kanak tersebut, Alvin menyewa sebuah rumah di Taman Mawar, Ampang dekat Kuala Lumpur dengan sewa bulanan sebanyak RM500.

Beberapa tahun kemudian, seorang wanita membeli rumah tersebut beserta dua buah unit rumah dua tingkat di hadapannya dan mendermakannya kepada Yayasan Sunbeams Home.

“Kami terima kemasukan penghuni dengan bersyarat. Setiap permohonan kemasukan akan ditapis. Jika ada ibu bapa merayu untuk membawa anak mereka keluar, kami akan pastikan mereka sudah benar-benar insaf,” katanya yang hanya membenarkan kanak-kanak keluar dalam tempoh masa terhad.

Enggan mencari

Menyelongkar kisah penghuni yang tinggal di situ, Alvin bangga menyatakan, dua anak wanita merempat di kaki lima kedai yang dibantunya dahulu kini sudah matang.

“Nasib kedua-dua beradik berusia 18 dan 26 tahun itu sudah banyak berubah. Pengalaman di sini banyak mendidik mereka tentang kehidupan,” katanya.

Insan yang dimaksudkan, Titus Liew Kar Meng, 18, mulanya tidak tahu mengenai nasib malang yang menimpa keluarganya.

“Semasa saya berumur 9 tahun, daddy (Alvin) menceritakan segala-galanya. Saya dan abang sangat sedih apabila mengetahui keadaan sebenar.

“Apabila ibu datang melawat, kami bertanya dengan ibu, tetapi ibu tidak pernah berikan jawapan. Ibu hanya minta kami lupakan semuanya dan hidup dengan baik di sini,” katanya yang sedang mengikuti semester pertama pra diploma dalam jurusan perakaunan di sebuah kolej di ibu negara.

Enggan ambil tahu tentang bapanya, Titus nekad mahu melupakan kejadian hitam tersebut demi masa depan ibu dan dirinya.

“Saya tidak pernah bertanya dengan ibu atau daddy. Saya juga tidak mahu mencari dia. Apa yang saya mahu lakukan sekarang ialah belajar bersungguh-sungguh.

“Saya mahu lulus cemerlang dan mendapat kerja yang bagus kerana saya mahu menjaga ibu dan membantu adik-adik di yayasan ini,” katanya.

Sementara itu, seorang kanak-kanak, Jody Ooi Bee Leng, 11, pula tinggal rumah yayasan itu sejak berusia 5 tahun.

“Ibu dan bapa saya bekerja di Singapura dan Thailand. Saya ditinggalkan di sini kerana mereka sibuk bekerja,” katanya.

Dia yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah seorang pelajar yang pintar.

“Daddy mementingkan pelajaran kami. Selepas habis sekolah, kami akan ikuti tuisyen dan mengulang kaji bersama-sama di sini,” katanya yang berazam untuk membantu kanak-kanak lain di yayasan tersebut selepas dia berjaya menjadi seorang guru suatu masa nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: