ASALNYA Ideris Zainudin menjaja ais kacang di sekitar Padang Pahlawan di Bandar Hilir, Melaka.
Memang sikapnya suka bertanya terutama tentang perniagaan menyebabkan dia mempunyai maklumat secukupnya untuk memulakan satu perniagaan yang lebih besar dan menjamin masa depan.
Dalam pada itu, Ideris gigih meneruskan usahanya menjaja ais kacang bagi mengumpul modal membuka perniagaannya sendiri.
Ketika itu tahun 1979 dan dia memikirkan apakah perniagaan yang boleh diwariskan kepada anak-anak.
"Selepas berkeluarga saya mula memikirkan apakah yang boleh dijadikan warisan untuk keluarga. Saya tidak mahu anak-anak berniaga di tepi jalan seperti saya.
"Saya jadi makin nekad berniaga apabila melihat ramai golongan bukan bumiputera mengusahakan produk tradisi orang Melayu. Dalam pada itu saya buat kajian mengapa kaum Cina boleh berjaya.
"Kemudian saya fikir mengkomersialkan dodol sebagai satu kewajipan. Ia umpama satu tuntutan fardu kifayah demi menyelamatkan orang Melayu daripada membeli dodol yang dibuat bukan Islam," ujar Ideris mengimbas tentang penglibatannya dalam perusahaan dodol di premisnya baru-baru ini.
Lalu pada tahun 1999, satu kawah dibeli dan dengan bermodalkan RM40,000, belakang rumah dijadikan bengkel sementara. Lalu produksi pertama dodol dihasilkan.
"Masa itu memang saya tidak terlalu fikirkan tentang keuntungan tetapi lebih kepada kewajipan.
"Memang tidak menyangka niat baik saya diizinkan Allah untuk mendapat rezeki lebih. Ketika itu pula ada satu kumpulan persatuan umat Islam Singapura menempah dodol saya untuk dieksport.
"Tempahan demi tempahan diterima dan saya mula melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D)," ujarnya yang mengusahakan perniagaan tersebut bersama isterinya.
Bermula dari satu kawah, Ideris menambah hingga menjadi tiga dalam masa enam bulan.
Malah berkat kerajinannya dia layak menerima bantuan dari Jabatan Pertanian. Bengkel yang kecil diperbesarkan dan modal turut ditambah.
"Ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri saya banyak mendapat projek kerajaan.
"Ketika itu juga saya mendapat anugerah Usahawan Terbaik peringkat kebangsaan dan pelbagai lagi anugerah dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Pertanian. Pada tahun 2010 saya juga mendapat anugerah 1Best Malaysia di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)," ujarnya yang kini mempunyai enam pekerja.
Ketika ditanya apakah rahsia kejayaan perusahaan dodol Ideris berkata, sejujurnya dia mengakui sedikit sebanyak ia berpunca daripada sifatnya yang suka merantau.
"Bila kita berjalan kita dapat membuka minda melihat apa yang baik di tempat orang yang boleh mendatangkan keuntungan.
"Saya paling terkesan apabila pernah menghadiri majlis kahwin yang memberikan buah tangan jeli jenama tempatan kepada tetamu, kemudian saya terfikir kenapa tidak digantikan jeli itu dengan dodol yang lebih mudah dimakan.
"Kemudian saya pernah ke Thailand dan melihat dodol di sana dibuat dalam pelbagai warna. Jadi saya pun terus melakukan R&D sendiri dan menghasilkan dodol dalam pelbagai perisa seperti durian, capuccino, strawberi, pandan dan mangga," jelasnya yang menghasilkan kira-kira 60 kilogram dodol sehari.
Ideris menyatakan bahawa dodol Melaka memang tidak boleh ditandingi mana-mana dodol sekalipun.
"Itu hakikatnya dan jika ditanya mengapa, mungkin kerana bahan utamanya iaitu gula Melaka itu sendiri," ujarnya sambil tersenyum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: