Sunday, August 21, 2011

Penjejak GPS Nadia


NADIA berpendapat alat navigasi dan penjejak GPS memberi banyak kelebihan kepada pengguna.


NADIA Suhaili, 33, telah mengikuti perkembangan teknologi sistem kedudukan global (GPS) dengan penuh minat sejak di kampus universiti lagi.

Selepas tamat pengajian pada tahun 2000, beliau menyertai sebuah syarikat teknologi maklumat di Sarawak sebagai pengurus pusat panggilan.

Setelah puas menimba pengalaman, Nadia bersama seorang rakan kongsi membuka syarikat, Tech Innovasi Sdn. Bhd. dengan beliau sebagai Ketua Pegawai Operasinya. Fokus syarikat itu ialah menjual produk berasaskan GPS.

“Enam tahun lalu sudah banyak alat navigasi GPS dijual di pasaran. Alat itu memang canggih tetapi untuk menghasilkan produk yang sama bukanlah satu keputusan bijak. Kami hanya akan berjaya jika dapat mencipta produk yang lebih hebat,” kenang beliau.

Selama beberapa tahun, Tech Innovasi membangunkan produk penjejak satelit sendiri, dinamakan QuantumTrac sebelum boleh menjualnya.

Kenderaan

“Memang banyak alat GPS yang ada di pasaran tetapi fungsinya hanya untuk menjejak lokasi yang ingin dituju.

“Sebaliknya kurang alat yang boleh mengesan pergerakan kenderaan khususnya kenderaan komersial dan ia boleh dipantau dari komputer di rumah atau pejabat.

“Malah, ia juga boleh digunakan untuk mengesan kenderaan yang hilang,” katanya.


SATU unit QuantumTrac berharga RM1,200. Pelanggan juga dikenakan yuran perkhidmatan bermula dari RM60 sebulan.


Menurut Nadia, QuantumTrac versi terkini juga mampu memantau tahap penggunaan minyak, kelajuan serta tingkah laku pemandu.

Jika kenderaan tersebut dipandu di luar laluan yang ditetap, pemilik atau syarikat terbabit akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan perkara itu secara serta-merta untuk tindakan lanjut.

QuantumTrac yang mendapat pengiktirafan Insitut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM) telah dilanggan oleh syarikat seperti pengeluar air berkarbonat, Permanis, dan francais Mynews.com.

Tambah Nadia, dengan menggunakan GPS, sesebuah syarikat pengangkutan boleh merancang perjalanan dengan lebih efektif.

“Pemandu yang sebelum ini kerap berhenti rehat mungkin akan mengubah sikap itu apabila mengetahui tindak-tanduk mereka dipantau.

“Syarikat Mynews.com yang selalu membuat penghantaran buku dan surat khabar contohnya, tidak akan berhenti di tempat yang tidak ditetapkan” ujar Nadia.

Alat penjejak kenderaan itu juga penting dipasang pada kenderaan untuk mengelak kejadian samun atau kenderaan dilarikan.

Ini kerana alat itu memiliki sistem yang dipanggil immobilizer yang boleh mematikan enjin dan menghalang penjenayah daripada menghidupkan semula enjin kenderaan yang dilarikan itu.

“Pernah sekali sebuah lori dilaporkan hilang di Kuala lumpur dan kami dapat menjejak lokasi lori itu di Perak.

“Malangnya lori tersebut tiada di situ kerana rupa-rupanya alat itu telah ditanggalkan dari kenderaan itu oleh penjenayah,” kata Nadia sambil memberitahu keretanya mempunyai alat navigasi GPS kerana beliau takut tersesat jalan semasa memandu di bandar raya Kuala Lumpur.

Menurut Nadia, rangkaian jalan raya baru yang sentiasa dinaik taraf menyebabkan orang ramai menghadapi kesukaran untuk mengingati jalan ke sesebuah lokasi dan oleh itu navigasi GPS begitu banyak membantu di samping membolehkan seseorang membuat perjalanan yang terancang.

Internet

Nadia berpendapat teknologi GPS bukan hanya berguna dalam menjejak kenderaan yang hilang malah beliau meramalkan ia akan digunakan secara meluas untuk mengesan kedudukan manusia dan haiwan pada masa akan datang.


PERGERAKAN kenderaan boleh dipantau menerusi laman khas QuantumTrac.


Baru-baru ini, Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) dan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) meletakkan tag satelit pada buaya air masin di Kinabatangan, sebagai usaha memantau pergerakannya.

Ia bagi memastikan kelangsungan hidup haiwan itu berikutan perubahan landskap habitatnya akibat kegiatan perladangan.

Usaha meletakkan tag pada buaya jantan sepanjang empat meter yang diberi nama Girang itu merupakan inisiatif pertama seumpama itu di Borneo, dan juga mungkin yang pertama di Asia Tenggara.

Dengan kejadian penculikan yang sering dilaporkan akhbar mutakhir ini, Nadia berkata, teknologi satelit khususnya yang dipasang pada telefon pintar dapat membantu mengesan mangsa.

“Di New Zealand, ada pesakit Alzheimer yang dipakaikan jam tangan satelit. Jadi jika mereka bersiar-siar dan terlupa jalan untuk pulang ke rumah, kedudukan mereka dapat dikesan oleh ahli keluarga menggunakan perisian khas di Internet.

“Di Malaysia, beberapa sekolah antarabangsa telah membekalkan teknologi GPS ini untuk memantau pergerakan dan keselamatan pelajar mereka,” cerita beliau.

Ditanya mengenai penggunaan alat itu dalam memerangkap suami atau isteri yang curang dengan memasangnya pada kenderaan pasangan, Nadia berkata, ia mungkin boleh digunakan tetapi itu bukan tujuan utama alat GPS itu direka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: