Wednesday, August 17, 2011

Peluru sejengkal dari kepala


STRATEGI... K.Soundraraja (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada kakitangannya mengenai latihan perang di Pangkalan TLDM Lumut baru-baru ini.


HANYA sejengkal jarak peluru dari kepala, jika terkena tembakan itu, saya tidak tahu apa yang akan terjadi".

Demikian reaksi awal Laksamana Pertama K. Soundrarajan, 57, ketika diminta menceritakan kenangan yang tidak dapat dilupakan sejak berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pegawai Memerintah Pusat Taktik Maritim (Pustakmar) itu berkata, ketika kejadian yang berlaku pada 1984 itu, dia bertugas sebagai Pegawai Kanan Skuadron Kapal Ronda 14, KD Beladau yang mengetuai lima buah kapal lain ke Sabah.

Katanya, kejadian tembakan berpunca daripada salah faham sebuah bot di perairan Lahad Datu yang menyangka anggota TLDM mahu memberkas mereka.

"Semasa mahu memasuki pelabuhan, ada sebuah bot kecil berhampiran kawasan itu. Pada mulanya kami menyangkakan ia merupakan bot nelayan tetapi sebenarnya ia adalah bot lanun.

"Apabila melihat kapal TLDM, mungkin mereka beranggapan kami mahu menangkap mereka sebab itu mereka melepaskan tembakan. Pada masa itu kami memang tidak bersedia dan masing-masing menunduk bagi mengelakkan terkena peluru sesat yang dilepaskan lanun tersebut," katanya.

Beliau yang lebih mesra disapa Sound berkata, apabila anggota kapal mahu melepaskan tembakan, bot kecil itu telah hilang di sebalik belukar dan batu-batu di sekitar perairan.

"Kita tidak dapat mengejar kerana mereka menghampiri kawasan cetek. Kapal sebesar KD Beladau tidak boleh menghampiri kawasan itu kerana ia akan tersangkut," katanya.

Sound yang dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang mendapat pendidikan di Penang Free School. Setelah tamat pengajian beliau mengambil keputusan menyertai TLDM kerana minat yang mendalam terhadap bidang tersebut.

Walaupun pada awalnya mendapat tentangan daripada keluarga yang mahukan beliau menyambung pelajaran di India dalam bidang perubatan, ia dapat diatasi setelah penjelasan untuk menyertai TLDM diberikan kepada ibu dan bapanya.

"Saya dibesarkan di Pulau Pinang dan pada masa itu rumah saya terletak berhampiran laut. Setiap hari saya akan melihat kapal dan ia telah mewujudkan minat yang mendalam untuk menyertai TLDM.

"Sebagai anak tunggal pada ketika itu, ibu bapa memang mengharapkan saya menjadi doktor. Namun saya menolak kerana minat lebih terarah kepada badan beruniform. Jika ditanya kepada rakan-rakan semasa di sekolah mereka juga akan mengiakan bahawa saya memang meminati bidang ini sejak kecil lagi," katanya.

Sepanjang berkhidmat selama 38 tahun bersama TLDM, beliau telah menangani dan menguruskan banyak tugas mencabar dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan perairan negara terjamin.

Katanya yang baru dinaikkan pangkat sebagai Laksamana Pertama pada Julai lalu, beliau telah dipertanggungjawabkan dalam pelbagai jawatan penting dalam perkhidmatan laut dan pangkalan. Antaranya menjadi Pegawai Memerintah kapal sebanyak enam kali antaranya kapal KD Rentaka, KD Sri Selangor, KD Beladau, KD Serang dan KD Rahmat selain menjawat tugas terakhir sebagai Pegawai Kanan Skuadron Frigat ke-21.

Ketika bertugas di Wilayah Persekutuan Labuan, Sound juga menjawat tugas sebagai Ketua Pegawai Staf Operasi merangkap Ketua Staf Markas Wilayah Laut 2.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Juruarah di Maktab Turus Angkatan Tentera Malaysia dan menjadi perintis kepada penubuhan Pusat Peperangan Bersama (Pesama).

Sound juga pernah bertugas sebagai Pengarah di pusat itu sebelum menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah di Pustakmar sehingga kini.

Ditanya rahsia bagaimana dia mendaki kejayaan sehingga mampu menjawat beberapa jawatan penting dalam TLDM, Sound berkata, ia merupakan hasil kerja keras dan dedikasinya selama ini.

Katanya, beliau sering menanamkan semangat dalam diri bahawa bukan semua orang berpeluang menjadi anggota tentera yang bertanggungjawab dan memainkan peranan penting menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

"Menjadi anggota keselamatan merupakan satu amanah. Ia bukan hanya sekadar berperang tetapi tanggungjawab menjaga negara dan bukan semua orang yang dilahirkan mempunyai peluang seperti ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan tanggapan sesetengah pihak kononnya kaum bukan Melayu tidak diberi peluang untuk maju dalam pasukan keselamatan.

Katanya, peluang sama rata kepada semua kaum sentiasa ada dan semuanya bergantung kepada usaha yang dilakukan setiap individu.

"Semua kaum mempunyai peluang yang sama untuk maju dalam bidang ini dan ia terpulang kepada mereka bagaimana mahu mencapai kejayaan dalam bidang ini," katanya.

1 comment:

  1. Congratulation Mr Sound on your hard work and achievement ."Nobody can stop a man with a goal in his head and a brave and determined heart"

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: