
SEKOLAH Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL) mengadakan Ekspedisi Taman Negara sebagai salah satu usaha untuk memupuk semangat cintakan alam semula jadi serta mengasah bakat kepimpinan di kalangan ahli badan beruniform di sekolah itu.
Pengetua Cemerlangnya, Karteni Osman berkata, aktiviti perkhemahan itu bertujuan memberi para pelajar peluang untuk merasai sendiri pengalaman secara langsung dalam mendekati suasana baharu dan cara hidup di dalam hutan.
"Pendidikan secara tidak formal juga dapat dicapai melalui pemerhatian, pendengaran dan penglihatan serta pengalaman yang tidak akan dapat diperolehi di dalam bilik darjah," katanya yang turut menyertai perkhemahan di Taman Negara, Pahang, baru-baru ini.
Perkhemahan tahunan yang diadakan buat kali ketiga itu disertai oleh seramai 78 pelajar dan 10 guru.
Menurut Karteni, pelbagai aktiviti mencabar diadakan sepanjang perkhemahan itu termasuklah cabaran berjalan malam yang sememangnya menguji kepekaan dan ketajaman penglihatan para peserta.
"Sepanjang aktiviti berjalan malam sejauh 1.5 kilometer itu, para peserta berpeluang melihat pelbagai jenis serangga yang menjadi penghuni setia hutan tersebut.
"Para peserta turut diberi peluang melihat haiwan seperti rusa dan tapir makan pada waktu malam dari menara tinjau yang disediakan oleh pihak Taman Negara.
"Walaupun hanya dapat melihat dari jauh, pengalaman ini mampu menimbulkan kesedaran bahawa Taman Negara ini perlu dipelihara agar generasi akan datang turut dapat merasai pengalaman yang sama," jelasnya.
Turut diadakan pelbagai aktiviti seperti ujian ketahanan dan kekuatan peserta menaiki canopy walkway setinggi 50 meter serta mendaki Bukit Terisek sejauh 2.5 kilometer.
Sementara itu, seorang peserta perkhemahan, Nur Syahirah Abdullah berkata, aktiviti paling mencabar baginya ialah menyusuri canopy walkway sepanjang 530 meter yang merupakan kanopi terpanjang di dunia.
"Aktiviti ini membina keyakinan diri para peserta program yang takutkan ketinggian. Sokongan rakan dan guru membantu saya yang memang takut dengan ketinggian," katanya.
Tambahnya, melalui aktiviti mendaki bukit pula, banyak spesis pokok yang terdapat dalam hutan itu dapat dipelajari dan dikenal pasti.
"Para peserta mendapat maklumat berguna daripada jurupandu yang bersama memberikan penerangan tentang pokok dan tumbuhan yang banyak kegunaannya," ujarnya.
Seorang lagi peserta, Ifwat Haziq Jasri berkata, pertama kali merasai suasana dan kehidupan orang asli suku kaum Batek membuatkan dia berasa sangat bersyukur dilahirkan dan tinggal dalam kawasan yang lengkap dengan semua kemudahan.
"Mereka bergantung hidup sepenuhnya dengan alam sekitar tanpa sebarang kemudahan seperti bekalan air paip dan elektrik namun mereka hidup bahagia dan aman tanpa sebarang gangguan," terangnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: