Wednesday, August 3, 2011

Padah pinjam ah long


SUZIE yang menjadi mangsa ah long tampil meminta bantuan Pusat Perkhidmatan Pembela BN di Melaka semalam.


MELAKA - Seorang suri rumah dari Pulau Gadong di sini kini dibelenggu ketakutan apabila pinjaman sebanyak RM300 daripada sebuah agensi peminjam wang haram menyebabkan dia terpaksa menanggung hutang yang berlipat kali ganda.

Menurut ibu kepada empat anak yang mahu dikenali sebagai Suzie, 35, itu, dia sekarang bukan sahaja diugut supaya membayar pinjaman pokok yang sudah bertukar menjadi RM500 tetapi juga bakal berdepan dengan caj bunga RM400 sebulan jika gagal membayar pinjaman pokok itu sekali gus.

"Saya cuma meminjam sebanyak RM300 pada 2 Julai lalu dan terkejut apabila dihubungi agensi terbabit tiga hari selepas itu yang meminta bayaran pokok RM500.

"Saya cuma mampu membayar RM200 pada pertengahan bulan lalu dan diugut jika gagal melunaskan RM500 sekali gus saya berdepan dengan caj bunga sebanyak RM400 sebulan," katanya ketika ditemui di pejabat Pusat Perkhidmatan Pembela Barisan Nasional (BN) Melaka di Kota Cemerlang di sini semalam.

Suzie berkata, meskipun ah long terbabit belum menggunakan tindakan kekerasan ke atasnya tetapi dia berasa tertipu dan amat bimbang apabila mendapati terpaksa membayar hutang dalam jumlah yang besar.

Menurutnya, masalah itu bermula apabila dia menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada wakil agensi pinjaman wang yang menawarkan perkhidmatan pinjaman segera.

"Pada waktu itu saya begitu terdesak untuk menggunakan wang dan selepas berbincang dengan suami saya membuat keputusan untuk meminjam RM300. Itu pun untuk membeli barangan keperluan harian sahaja," katanya.

Katanya, dia sekeluarga kini amat tertekan kerana telah berhenti bekerja di sebuah kilang selain terpaksa menjaga ibu yang uzur menyebabkan dia sukar untuk melunaskan hutang ah long terbabit.

Sementara itu, Ketua Penyelia Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Ab. Aziz berkata, pihaknya akan sedaya upaya membantu mangsa dan menyelesaikan masalah menggunakan saluran diplomasi.

"Kita akan cuba berbincang dengan ah long tersebut dan minta kurangkan bayaran sama ada bayaran pokok atau bunga," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: