Monday, August 1, 2011

Op Pasir: Pertahanan hadapan negara

Operasi di Sistem Pengawasan Op Pasir atau Joint Regional Command Centre (JRCC) yang berpusat di Markas Angkatan Bersama ATM di Tawau, Sabah.

SEJARAH hitam yang dialami oleh sekumpulan 23 orang termasuk 12 pelancong asing yang diculik oleh Kumpulan Abu Sayaf dari kepulauan Selatan Filipina di Pulau Sipadan pada 23 April 2000 mungkin tidak dapat dilupakan sehingga ke akhir hayat.

Susulan daripada insiden penculikan itu, Kementerian Pertahanan telah melancarkan Operasi (Op) Padan pada 29 April 2000 sebagai satu ‘operasi terselindung’.

Namun jejak Kumpulan Abu Sayaf tidak terhenti setakat di Pulau Sipadan apabila penculikan kedua berlaku pada 10 September tahun yang sama di Pulau Pandanan yang terletak kira-kira 38 kilometer ke Timur Laut Semporna.

Ekoran kejadian berulang itu, Jemaah Menteri bermesyuarat pada 13 September 2000 dan mengarahkan Tentara Darat (TD) digerakkan ke semua pulau dan resort di perairan Timur Sabah.

Operasi tersebut dinamakan sebagai Op Pasir bagi menggantikan Op Padan sempena singkatan lokasi insiden kes penculikan iaitu ‘Pandanan And Sipadan Island Resort’.

Op Pasir membanteras ancaman luaran iaitu kumpulan bersenjata terutama Kumpulan Abu Sayaff atau lebih dikenali sebagai ‘Kidnapping for Ransom’.

Terdapat kumpulan perompak dan lanun melibatkan warga asing dari sempadan dan pendatang asing yang menetap di sekitar perairan Timur Sabah.

Ancaman-ancaman lain adalah aktiviti-aktiviti penyeludupan manusia dan pencerobohan perairan yang berlaku tidak menentu pada bila-bila masa.

Ancaman dalaman pula terdiri daripada kumpulan perompak dan lanun, perompak tempatan warga asing serta warga tempatan yang memberi maklumat sasaran.

Selain itu, terdapat juga ancaman kawasan hidupan marin seperti pengeboman ikan, kerosakan batu karang dan kecurian telur penyu.

Kementerian Pertahanan baru-baru ini menganjurkan Lawatan Editor Kanan dan wartawan Media ke Pangkalan Hadapan Op Pasir di Pulau Siamil dan Pulau Danawan, Sabah.

Difahamkan Op Pasir di Pulau Siamil membabitkan satu seksyen yang terdiri daripada lapan anggota manakala 20 anggota di Pulau Danawan yang diketuai oleh pegawai yang memerintah Batalion Infantri berpangkat Leftenan Kolonel.

Selain demonstrasi Op Pasir, lawatan turut meliputi kunjungan ke Sistem Pengawasan Op Pasir atau Joint Regional Command Centre (JRCC) di Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MATB 2).

JRCC bertindak sebagai pusat pemantauan semua maklumat di kawasan tanggungjawab Op Pasir berkeluasan 1,577 kilometer membabitkan 33 penempatan termasuk 11 persisiran pantai dan 22 pulau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: