|
KETUA jurulatih olahraga negara, Harun Rasheed Othman kini boleh senyum lebar melangkah ke bank.
Ia gara-gara persetujuan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membayar tunggakan gaji seperti yang dituntutnya sebelum ini.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong (gambar kecil) berkata, pihaknya hanya akan membayar tunggakan gaji tersebut bermula dari Januari hingga Mei sahaja.
“Selepas Mei, Harun menghilangkan diri kerana dia telah pergi ke Bulgaria tanpa pengetahuan MSN.
“Dalam tempoh tersebut, dia tidak ada mengemukakan laporan mengenai perkembangan atlet-atlet kepada MSN. Jadi, tidak ada sebab untuk kami membayar gajinya selepas Mei,” kata Zolkples.
Zolkples berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama dengan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) di Bukit Jalil semalam.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Presiden KOAM, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Tambah Zolkples, MSN akan membayar tunggakan gaji Harun itu selewatnya-lewatnya minggu depan.
“MSN telah bersetuju untuk memberi geran kepada KOAM dan biarlah persatuan yang membayar gaji kepada Harun,” tambah Zolkples.
Difahamkan, bermula dari Januari hingga Mei, Harun akan menerima tunggakan gajinya itu sekitar RM20,000.
Isu tunggakan gaji Harun bermula apabila dia mengeluarkan kenyataan meminta MSN membayar gajinya yang tertunggak selama lapan bulan berjumlah RM32,000 sejak Januari pada minggu lalu.
Malah, Harun turut memberitahu bahawa MSN langsung tidak memberikan sebarang penjelasan kepada dirinya mengapa gajinya tidak dibayar.
Bagaimanapuan, Zolkples yang diminta mengulas mengenai perkara tersebut ketika itu menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah melantik Harun menjadi ketua jurulatih buat atlet-atlet olahraga negara.
Ini kerana, dalam proses MSN untuk mahu mengeluarkan surat tawaran kepada Harun, jurulatih tersebut telah berlepas ke Bulgaria atas arahan KOAM tanpa pengetahuan MSN pada penghujung Mei lalu.
Ditanya sama ada Harun selepas ini akan dilantik menjadi ketua jurulatih olahraga negara semula, Zolkples menjawab: “Selagi isu mengenai tindakan enam atlet olahraga melarikan diri daripada melakukan ujian anti-doping tidak selesai, Harun tidak akan dilantik.
“Saya mahu ia diselesaikan terlebih dahulu. Lagipun, KOAM telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat mengenai hal ini diketuai oleh R. Annamalai (Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Amatur Pahang) dan saya menunggu laporan daripada mereka.”
Drama yang tercetus ekoran enam atlet olahraga negara yang bertindak melarikan diri daripada melakukan ujian anti-doping bermula apabila mereka ‘hilang’ selepas diarahkan memberikan sampel air kencing di Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil 24 Mei lalu.
Mereka ialah Siti Fatimah Mohammad, Siti Zubaidah Adabi, Yee Yi Ling, Norjannah Hafiszah Jamaluddin, Nurul Sarah Abdul Kadir dan Mohd. Noor Imran Abd. Hadi.
Harun didakwa menjadi dalang dalam tindakan enam atlet terbabit melarikan diri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: