Sunday, August 21, 2011

Misi Man dan Rahim R2



Masih ingatkah lagi dengan program Raja Lawak (RL) musim kelima yang menyaksikan Man atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Kasim mengungguli takhta juara dan diikuti oleh duo adik beradik, R2 yang berada di tempat kedua.

Walaupun berbeza kedudukan, namun mereka tetap mempunyai misi yang sama dalam industri seni sebagai pelawak yang dikenali.

Mengakui populariti mereka tidak setanding dengan nama besar seperti Jozan, Man, 31 menganggap dirinya masih baru dan memerlukan tunjuk ajar daripada yang lama.

Malah, dia turut menerima undangan persembahan di seluruh negeri bergantung kepada permintaan.

“Saya kini mengikat kontrak bersama Astro selama tiga tahun. Namun, Astro memberikan kelonggaran kepada saya untuk menerima undangan lain.

“Memandangkan saya masih baru dalam industri, kebanyakan program yang saya terima adalah daripada Astro,” katanya yang bakal muncul dalam program Fantastika Raya Impian pada hari raya nanti.

Sementara itu, menurut Rahim R2 atau nama sebenarnya, Rahim Mat Ali, 41, mereka masih menerima undangan persembahan.

Katanya, penerimaan peminat amat membanggakan dan setiap lakonannya mendapat pandangan positif melalui laman sosialnya.

“Selepas raya ini, kemungkinan saya akan bekerjasama dengan Skop Production untuk menjayakan filem terbaru syarikat tersebut.

“Namun, ia masih dalam perancangan dan perbincangan lagi. Saya tidak boleh cakap banyak tentang filem ini kerana masih di peringkat perbincangan. Kalau ada, adalah nanti,” katanya yang kini bekerja di Logistic Company di Shah Alam.



Tak bergantung pada lakonan semata-mata

Walaupun semakin mendapat tempat di hati peminat, Man menegaskan bahawa dia tidak bergantung pada lakonan semata-mata.

Menurutnya, pada Mei tahun depan, dia mula bertugas di Pejabat Pos Malaysia setelah mengambil cuti tanpa gaji sejak menyertai RL.

“Industri seni ini ada pasang surutnya, kita tidak tahu bila keadaan itu berlaku. Jadi, saya tidak boleh mengharapkan lakonan semata-mata.

“Namun, tidak bermakna saya berputus asa dalam industri ini. Saya akan berusaha untuk menggapai satu tahap yang diinginkan. Saya mahu cedok ilmu daripada mereka yang berpengalaman,” katanya yang berpegang pada prinsip ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian’.

Berimpian untuk menjadi seperti, Datuk Yusoff Haslam yang kini mempunyai syarikat penerbitannya sendiri, Man tidak kisah untuk bersusah pada usia muda agar dapat menikmati kesenangan di kemudian hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: