Monday, August 8, 2011

Miera, Johan tinggalkan sekolah


WALAUPUN usianya belum mencecah 20 tahun, namun Miera Leyana begitu matang menjalani kehidupannya.


BIASANYA pada usia 15 tahun, seorang pelajar yang bersekolah di tingkatan tiga akan memberi tumpuan penuh pada bidang pelajaran. Masanya akan dihalakan kepada waktu persekolahan dan termasuklah juga kelas-kelas tambahan.

Bagaimanapun, berlainan pula halnya dengan pelakon muda Miera Leyana yang kini berusia 18 tahun. Pada usia yang masih hijau itu, dia kini beranjak sedikit demi sedikit menjadi salah seorang pelakon pelapis dalam bidang lakonan di negara ini.

Malah, menurut anak kedua daripada tiga beradik, minat dan kecenderungannya dalam bidang lakonan sudah bermula sejak tiga tahun lalu.

Katanya, di saat remaja lain sibuk dengan kerja-kerja sekolah, dia menghalakan minatnya dalam bidang lakonan bagi mengisi masa lapangnya.

“Sebenarnya, saya mula berlakon drama TV semasa berusia 15 tahun di mana drama 20 episod Luna Fantasiku adalah drama pertama lakonan saya. Ketika itu, saya korbankan waktu lapang saya untuk berlakon terutama apa cuti sekolah.

“Apatah lagi, pembabitan saya dalam bidang lakonan mendapat dorongan daripada kedua ibu bapa saya. Sekarang ini pun sepatutnya saya menyambung pelajaran tetapi saya ‘berehat’ sementara waktu kerana mendapat banyak tawaran berlakon,” katanya.

Miera yang merupakan anak kepada pasangan Kasmie Arshad, 50, dan Aishah Abdullah, 50, ini beruntung kerana ibu bapanya bukan setakat tidak menghalang niatnya itu. Sebaliknya, turut memberi dorongan agar berjaya dalam bidang tersebut.

Kata pelakon tinggi lampai itu, keghairahannya berlakon tidak bermakna dia melupakan terus pelajaran kerana ia akan menyambung pengajiannya apabila sudah sampai waktu dan ketikanya.

“Saya akan membuktikan kepada ibu bapa saya bahawa bidang lakonan yang saya ceburi ini sesuai dengan jiwa dan masa depan saya,” ujarnya.

Bagi membuktikan kesungguhannya dalam bidang lakonan, Miera yang kini menetap bersama keluarganya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur ini sanggup berbelanja lebih termasuklah membeli pakaian atau kostum untuk memudahkannya berlakon.

Tiga bulan lalu, Miera bersama keluarganya telah pergi ke Shanghai dan Guangzhou, China bagi membeli keperluan tersebut. Ternyata percutian merangkap aktiviti membeli-belah itu cukup memuaskan hati gadis manis ini.

“Saya memang serius berlakon termasuklah dalam soal penampilan diri. Saya amat menjaga pakaian atau kostum yang akan saya pakai dalam drama-drama lakonan saya. Sebab itu, saya sanggup berbelanja sendiri bagi mendapatkan pakaian yang sesuai dengan diri saya.

“Kalau ada penggambaran drama, saya akan bawa baju atau kostum sendiri. Sebab itu, selama dua minggu berada di dua bandar fesyen penting di China itu, saya tidak melepaskan peluang itu. Apatah lagi, harga pakaian di sana lebih murah berbanding di sini,” jelasnya.

Biarpun sedang meniti populariti, tetapi Miera tidak lupa diri. Ini kerana, bukan setakat ibu bapanya, malah pengarah seperti Ahmad Idham turut memberinya nasihat dalam menempuh bidang yang mencabar itu.

Pelakon drama Psikik dan Sejambak Bukan Serumpun ini semakin matang menempuh bidang yang penuh onak dan duri itu walaupun usianya belum mencecah 20 tahun.

“Saya memang masih muda tetapi orang di sekeliling saya kebanyakannya adalah yang sudah berpengalaman dalam hidup. Saya banyak belajar daripada pengarah berpengalaman seperti Aziz M. Osman dan Ahmad Idham. Maklumlah saya masih muda dalam bidang ini,” katanya.

Pada pertemuan malam itu, Miera dan Johan yang seakan-akan mempunyai persamaan dalam perjuangan mereka sebagai pelakon dipertemukan dalam rakaman rancangan Fuhhh! terbitan TV3 yang diacarakan oleh Awal Ashaari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: