Wednesday, August 10, 2011

Mayat gadis Perancis dibedah siasat


MAYAT Stephanie Foray dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan semalam untuk dibedah siasat.


KUANTAN – Polis kini menjalankan siasatan terperinci berhubung kes penemuan tulang rangka pelancong wanita Perancis, Stephanie Foray, 30, yang dijumpai tertanam di sebuah gua di Pulau Tioman kelmarin.

Siasatan tersebut bertujuan untuk mendapatkan gambaran sebenar termasuk motif dan cara mangsa dibunuh oleh dua suspek lelaki yang kini dalam tahanan polis.

Dalam pada itu, tulang rangka mangsa tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada pukul 12.20 tengah hari semalam untuk dibedah siasat.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, pihaknya tidak membuat sebarang andaian berhubung motif wanita itu dibunuh.

“Kes masih disiasat melalui dua suspek yang ditahan baru-baru ini. Motif dan lain-lain perkara berhubung kes itu akan diberitahu selepas siasatan selesai,” kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan mayat Stephanie Foray ditemui dibunuh kejam sebelum ditanam di sebuah gua di Kampung Tekek, Pulau Tioman kelmarin.

Mayat wanita yang masih belum berkahwin itu ditemui pada pukul 1 petang oleh polis ekoran penahanan dua lelaki warga tempatan pada 24 Julai lalu.

Seorang daripada suspek merupakan ahli perniagaan berusia 44 tahun yang memiliki sebuah pondok inap desa dan sebuah kafe manakala seorang lagi suspek merupakan sepupu ahli perniagaan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment