Sunday, August 7, 2011

Mariam pamer kerepek di Melbourne


SELAIN kerepek, Azhar Food juga mengeluarkan kuih-muih tradisional dan moden.


BIARPUN kerepek ubinya popular dalam negara dan pasaran Singapura, Mariam dan Azhar belum ghairah untuk membawa produk mereka ke pasaran lebih luas.

Walaupun pernah mengadakan pameran di Melbourne, Hong Kong, Bangkok dan Singapura, mereka masih menetapkan fokus untuk memenuhi keperluan kerepek dalam negara sebelum membawanya ke pasaran luar.

"Buat masa ini saya belum ghairah untuk ke pasaran antarabangsa.

"Kalau ke luar negara pun, belum tentu saya dapat penuhi permintaan tersebut kerana bekalan ubi kayu mentah untuk memenuhi pasaran tempatan masih kurang," jelas Mariam.

Sungguhpun begitu, pasangan ini menyediakan kesanggupan untuk menembusi pasaran antarabangsa sekiranya bekalan bahan mentah mencukupi.

Untuk meletakkan jenama Azhar Food setanding dengan jenama makanan ringan antarabangsa, syarikat ini turut melabur dalam inovasi pembungkusan yang lebih komersial, tahan lama dan praktikal.

Tampil lebih yakin dengan pembungkusan berkualiti dan menarik, ia adalah usaha Azhar Food selepas 20 tahun bertapak di Malaysia.

"Sebelum ini kami selesa dengan pembungkusan pukal, tetapi kali ini kami mempelbagaikan saiz untuk keselesaan pelanggan.

"Selain pembungkusan vakum menggunakan plastik jernih, kami juga mengeluarkan produk di dalam bekas kanister yang kedap udara," katanya.

Selain kerepek, samosa otak-otak dan biskut suji adalah produk keluaran syarikat Azhar Food Manufacturing Sdn. Bhd. yang mendapat tempat dalam kalangan penggemar makanan kering tempatan.

"Samosa otak-otak ini produk terbaharu kami. Teksturnya yang rangup dan intinya yang enak menjadikan kuih ini pilihan utama pada musim lebaran nanti.

"Biskut suji atau biskut Arab ini pula diadun mengikut ramuan warisan bagi mengekalkan rasa lemak manisnya," jelas Mariam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: