|
|
SETIAP kejayaan yang dikecapi oleh mana-mana individu adalah hasil daripada usaha sendiri. Segala rezeki yang diterima itu pula datangnya daripada tuhan.
Itulah pegangan yang sentiasa dijadikan panduan Pemangku Timbalan Ketua Polis Balai Ampang Jaya, Sarjan Mejar Latif Kassim, 55, dalam meniti kehidupan yang penuh dengan cabaran, khususnya ketika melaksanakan tugas sebagai anggota polis.
Bagi Latif, tanpa usaha mungkin juga dia tidak akan berada di tempat sekarang kerana sejak berusia setahun, beliau telah kehilangan seorang insan bergelar bapa.
Hasil usaha selain kasih ibu yang membesarkannya umpama menatang minyak yang penuh menjadikan beliau seorang insan yang berjaya dalam bidangnya kini.
"Kasih sayang dan doa daripada seorang ibu merupakan kunci kejayaan saya.
"Pengorbanannya tidak akan mampu dibalas dengan wang ringgit," katanya kepada Gaya Polis baru-baru ini.
Anak bongsu daripada dua adik beradik itu mula berkecimpung dalam bidang kepolisan sejak tahun 1975.
Sehingga sekarang beliau telah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 35 tahun.
Pada tahun 1975, ketika berusia 19 tahun, beliau mengambil keputusan untuk menyertai PDRM dan menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak selama tiga bulan.
Sebaik sahaja tamat latihan di Pulapol, Latif dihantar untuk menjalani latihan di Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan (SLPPH) Ulu Kinta.
Kemudiannya beliau diserapkan ke Pasukan Polis Hutan Batalion 3 di Ipoh, Perak selama tujuh tahun.
"Saya juga pernah bertugas di Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di Padang Besar Perlis, sebelum ditempatkan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Ampang Jaya sejak tahun 1988 sehingga sekarang," jelasnya.
Pertempuran Keramat Pulai
Latihan pertempuran di hutan Keramat Pulai, adalah untuk memberi pendedahan secara lebih mendalam kepada anggota rekrut yang menjalani latihan polis hutan tetapi akhirnya ia bertukar menjadi satu tragedi hitam buat diri Latif.
Peristiwa pada 3 Jun 1976 merupakan detik yang tidak akan dapat dilupakan oleh bapa kepada empat orang cahaya mata itu, apabila seorang koperal jurulatih dan dua rakan rekrutnya meninggal dunia dalam serangan hendap pengganas komunis di hutan Keramat Pulai, Perak.
"Kira-kira pukul 12.30 tengah hari, iaitu selepas tiga hari menjalani latihan praktikal dalam hutan tersebut, kumpulan saya yang dianggotai 19 rekrut dan diketuai oleh Koperal Ridzuan meneruskan perjalanan untuk mencari penempatan baru.
"Berdekatan dengan sebuah permatang, kami tiba-tiba diserang hendap dari tiga penjuru oleh pengganas komunis.
"Tiga anggota termasuk Koperal Ridzuan terkorban semasa kejadian berbalas tembakan tersebut," katanya menceritakan kejadian yang berlaku 35 tahun lalu.
Menurutnya, pihak musuh yang menjadikan permatang itu sebagai pusat latihan telah melepaskan tembakan bertubi-tubi sehingga menyebabkan dia dan rakan-rakan bergegas mencari tempat menyelamatkan diri.
Walaupun masih belum mahir menggunakan senjata api, Latif dan rakan-rakan terus bertempur dengan musuh yang ketika itu ghairah melepaskan tembakan dari puncak bukit.
Kedudukan musuh yang strategik tidak menghalang pasukan rekrut pelatih itu menyerang hendap dan akhirnya dengan kudrat yang ada, khemah latihan pengganas komunis di permatang hutan Keramat Pulai itu dapat ditawan.
Biarpun sudah hampir empat dekad tragedi Keramat Pulai berlaku, tetapi bagi Latif, peristiwa itu sentiasa bermain di mindanya.
Malah ada kalanya kesayuan menyelubungi diri tatkala terkenangkan rakan-rakan yang terkorban dalam pertempuran tersebut.
Peristiwa berdarah pada tahun 1976 itu tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk beliau terus berkhidmat dalam PDRM, malah ia menjadi pemangkin semangat buatnya untuk memperjuangkan keamanan negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: