Wednesday, August 17, 2011

Kad dari insan istimewa


LUKISAN yang dihasilkan artis-artis MFPA diterbitkan semula pada kad ucapan dan kalendar.


TIADA yang lebih menggembirakan daripada menerima sekeping kad ucapan yang dikirim sebagai pengganti diri setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri.

Walaupun ucapan pada masa kini lebih mudah dilakukan secara digital, keseronokan membuka sampul surat dan membaca setiap kata yang dicoret pengirim jauh lebih bermakna.

"Lebih bererti lagi jika kad yang dikirim itu bukan sekadar kad ucapan biasa tetapi mampu menolong orang-orang seperti kami," itulah mesej yang disampaikan oleh Mat Jamil Ramli ketika ditemui penulis, baru-baru ini.

Setiap tahun menjelang musim perayaan, Jamil mengirim beribu-ribu kad ucapan Hari Raya Aidilfitri ke seluruh negara kepada penerima yang tidak pernah dikenalinya, termasuk penulis yang menerimanya pada minggu pertama Ramadan.

Kiriman berisi koleksi kad raya itu dijual pada harga RM50 kepada setiap penerima yang ingin menggunakannya untuk dikirim kepada rakan dan insan tersayang.

Dalam sampul surat itu dilampirkan bersama sekeping surat yang bertulis: "Sumbangan yang anda hulurkan dapat membantu kami meneruskan kehidupan dan untuk terus berdikari."

"Saya menulis salinan asal surat ini dengan menggunakan kaki saya," katanya melalui tulisan yang cantik dan kemas.

Rangkap terakhir pada surat itu cukup untuk membuatkan penerima meneliti kad-kad raya kosong itu satu persatu.

Ilustrasi berupa masjid, bunga dan pemandangan yang tercetak pada kad itu adalah karya yang dilukis sendiri oleh Jamil.

Hasil seni itu sama seperti lukisan yang biasa dilihat kerana cantik dan kemas. Jika tidak membaca surat itu, tidak mungkin saya mengetahui ia dilukis dengan menggunakan kaki.

Jamil merupakan salah seorang daripada sembilan orang artis yang bernaung di bawah Persatuan Artis Lukisan Mulut dan Kaki (MFPA) - badan yang bertanggungjawab memasarkan lukisan yang dihasilkan oleh artis mulut dan kaki.

Selain dijadikan kad ucapan hari perayaan, karya-karya yang dihasilkan oleh artis terbabit turut dicetak menjadi kalendar, hiasan dan permainan jigsaw.

"Setiap bulan kami (ahli) yang berdaftar di bawah MFPA diberi elaun daripada lukisan yang kami hasilkan," kata pemuda dari Kampung Bukit Bading, Terengganu itu.

Jamil dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan. Namun dikurniakan semangat yang kental untuk berdikari dan berjaya dalam bidang yang diminatinya.

Minat melukisnya bermula seawal usia tujuh tahun. Ketika itu beliau sekadar melukis menggunakan alat tulis yang 'dicuri' daripada adik-beradiknya.

"Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dikuasai kerana kaki bukan dicipta untuk memegang atau melakar sesuatu," jelas bekas pelajar jurusan Rekaan Grafik di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi itu.

Namun dengan bakat yang ada, segala masalah berakhir. Pada masa kini Jamil mampu menghasilkan kira-kira lima buah lukisan setiap bulan bergantung kepada saiz, jenis lukisan dan tahap kesihatan.

Dengan duit elaun yang diterima dari MFPA, beliau bukan sahaja dapat membeli alat melukis bahkan dapat menyambung pendidikan ke peringat lebih tinggi.

"Masih banyak perkara dan ilmu yang perlu saya pelajari untuk menjadi seorang pelukis terkenal," katanya.

Walaupun tanpa tulang empat kerat, beliau mengakui tiada halangan yang terlalu sukar untuk ditempuhinya. Kegigihannya juga terbukti melalui kebolehan memandu sendiri kereta miliknya.

"Selepas melakukan pengubahsuaian seperti yang dilakukan oleh seorang wanita OKU di Youtube, saya berjaya melakukannya (memandu) sendiri," katanya yang merupakan salah seorang ahli sukan paralimpik Terengganu.

Pesanan beliau kepada golongan yang senasib dengannya supaya tidak malu dalam apa jua perkara dan harus berusaha keras demi mengejar impian.

Sementara itu, bakat yang sama turut dikongsi oleh Aliah Talib. Gadis berusia 24 tahun yang juga salah seorang artis MFPA yang melukis menggunakan kaki.

Dilahirkan tanpa kedua belah tangan, Aliah tidak pernah berpeluang menerima pendidikan di sekolah semasa zaman kanak-kanaknya.

Namun jauh di dalam hati beliau menyimpan hasrat yang tinggi untuk belajar.

Dengan hanya 'menagih ilmu' daripada adik-beradik yang lain, Aliah mampu membaca dan menulis pada usia tujuh tahun seperti Jamil.

Sejak itu, minatnya pada seni lukis mula berkembang menjadi hobi yang kini menjadi mata pencarian.

Aliah berkecimpung secara serius di dalam seni lukis pada usia 17 tahun selepas mendapat pendidikan secara formal di PLPP.

Di situ jugalah, beliau berkenalan dengan Jamil dan menjadi kawan baik.

Peluang yang datang tidak disia-siakan, Aliah kemudian menyertai MFPA pada 2007.

Keinginan untuk berjaya dalam bidang itu dipertingkatkan lagi dengan mengambil 'tuisyen' dengan pelukis profesional tempatan, Raja Azhar Idris.

Pada tahun ini, anak bongsu daripada tujuh beradik itu menyambung semula pendidikan di PLPP, Bangi di dalam pengkhususan lukisan batik.

"Sekarang saya ada peluang dan saya tidak akan berhenti belajar. Terlalu banyak benda perlu dipelajari jika kita mahu berjaya dalam hidup," kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Dengan naungan dan sokongan yang diberikan oleh persatuan, kedua-dua mereka kini mempunyai lebih semangat untuk meneruskan kehidupan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: