Wednesday, August 3, 2011

Jasa perigi tua


SEBAHAGIAN daripada penduduk beratur mendapatkan bekalan air dari sebuah perigi milik Cheng Hung di Port Dickson semalam.


PORT DICKSON – Perigi lama jadi penyelamat! Itu yang berlaku apabila sebuah perigi berusia lebih 40 tahun milik seorang penduduk di Kampung Paya di sini menjadi tumpuan orang bagi mendapatkan bekalan air.

Ia menjadi tumpuan kerana kawasan itu mengalami gangguan bekalan air selama empat hari berturut-turut.

Pemiliknya, Ong Cheng Hung, 48, berkata, perigi berusia 40 tahun dan sedalam enam meter itu tidak pernah kering walaupun beratus-ratus orang mengambil airnya dalam masa empat hari lalu.

“Pada mulanya, jiran saya sahaja datang ambil air tetapi tidak lama selepas itu semakin ramai penduduk di kampung ini dan kampung sebelah datang cari air.

“Oleh kerana permintaan yang tinggi, saya terpaksa guna pam sedut air,'' katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Cheng Hung, dia tidak mengenakan sebarang bayaran kepada orang ramai malah dia sendiri keluar duit poket untuk membeli petrol dan pam.

“Saya ikhlas bantu mereka dan tidak mahu ambil kesempatan dengan mengenakan bayaran atas kesusahan yang mereka alami.

Apa pun, dia tidak menyangka perigi yang dbina oleh bapa mertuanya itu kini berjasa kepada orang ramai.

Sementara itu, seorang penduduk, Syed Mohd. Azam, 42, berkata, dia berterima kasih kepada keluarga Cheng Hung yang sudi membantu penduduk walaupun berlainan agama dan keturunan.

“Saya terharu kerana dia bantu kami sekali gus mengeratkan lagi hubungan antara penduduk di sini,” jelasnya.

Bekalan air di daerah berkenaan telah terputus sejak Jumaat lalu apabila tiga paip dari Loji Rawatan Air Sungai Linggi ke Port Dickson pecah sekali gus menjejaskan sebanyak 38,000 premis termasuk rumah dan kilang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: