HARGA ayam di Pasar Stutong, Kuching naik mendadak sejak bulan puasa.
KUCHING: Harga telur dan ayam di beberapa kawasan di Sarawak dilaporkan naik mendadak sehingga membimbangkan pengguna, terutama umat Islam yang kini sedang berpuasa dan bakal menyambut kedatangan Aidilfitri.
Harga telur ayam gred A pula dijual antara RM10.60 hingga RM11.40 dalam satu pembungkusan standard 30 biji berbanding RM9.70 sebelum ini, manakala telur gred B dijual pada harga RM10.40 dan gred C pada harga RM10.20.
Bagaimanapun, harga barangan itu didapati tidak seragam kerana ada antara peniaga di kawasan Satok menjual telur gred A pada harga RM10.60 untuk satu pembungkusan standard 30 biji, manakala tinjauan di Pasar Stutong pula mendapati peniaga menjual sehingga RM11.40.
Berikutan itu, ramai suri rumah kini mula bimbang dan gelisah jika harga barangan keperluan utama semakin naik menjelang musim perayaan Aidilfitri hujung bulan ini.
Suri rumah, Jumaah Suhai, 40, yang ditemui di Satok, semalam mendakwa harga barangan keperluan itu didapati naik sehari sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa.
"Sebelum itu saya dapati harga telur masih dijual antara 28 sen hingga 32 sen sebiji, tetapi agak mengejutkan apabila di Satok hari ini telur ayam dijual pada harga 34 hingga 35 sen. Ini bermakna bagi pembungkusan standard 30 biji telur dijual antara RM10.20 hingga RM10.60.
"Telur ayam antara keperluan utama pada Ramadan ini dan saya bimbang, jika harga barangan keperluan ini berterusan naik, akhirnya akan membebankan pengguna menjelang perayaan nanti," katanya.
Kenaikan harga telur ayam turut dilaporkan di Sibu apabila ada peniaga dikesan menjual pada harga antara RM10 hingga RM11 untuk satu pembungkusan standard 30 biji berbanding antara RM8.40 hingga RM9.20 sebelum ini.
Bagaimanapun, beberapa pengguna di Sibu yang dihubungi mendakwa keliru apabila peniaga tidak meletakkan tanda gred telur yang dijual.
"Tak tahulah gred apa sama ada A, B atau C kerana peniaga hanya meletakkan tanda harga tanpa menanda gred telur ayam itu," kata pengguna, Bibiana Bilong, 42.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata pihaknya sudah membuat pemantauan untuk mengenal pasti kenaikan harga barangan keperluan di seluruh negeri ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: