Sunday, August 7, 2011

Gangguan misteri di lokasi




NAMA pelakon cantik manis ini sering kali kedengaran di bibir peminat dengan gaya lakonannya yang semakin dilihat lebih matang berbanding pada awal pembabitannya.

Sebab itulah jika dilihat sekarang, Intan Ladyana semakin mendapat tempat di hati pengarah terkenal tanah air bagi membawa watak besar dalam setiap filem arahan mereka.

Ketika ini juga Intan cukup terkenal dengan filem-filem yang berunsurkan seram, terbaru Intan tampil dalam filem Flat 3A arahan Azahari Zain.

Ditanya berkenaan pengalamannya berlakon dalam filem seram baru-baru ini, ternyata beberapa peristiwa yang tidak diingini berlaku di depan matanya sendiri.

“Memang saya akui ada beberapa gangguan yang berlaku di dalam dan di luar set penggambaran filem tersebut.

“Ada satu kejadian di mana kamera beberapa kali jatuh dan saya sendiri juga pernah nampak kelibat seseorang, tapi tidak pasti pula apa yang saya nampak itu,” cerita Intan.

Tambahnya, set penggambaran filem itu dilakukan di sebuah unit flat tinggal di Kampung Medan, Petaling Jaya.

“Memang kelibat itu saya lihat sendiri di hujung-hujung mata. Kru juga turut mengalami perkara yang sama.

“Namun perkara-perkara begini langsung tidak mengganggu lakonan saya serta kru yang lain, alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Belum Sedia Untuk Kahwin

Seperti yang sedia maklum, hubungan antara Intan dan seorang pelakon lelaki hebat yang turut menempa nama ketika ini, Kamal Adli tidak perlu disembunyikan lagi.

Ternyata kedua-dua bintang muda ini sedang dilamun cinta, rata-rata peminat mereka juga telah mengetahui tentang hubungan yang telah terjalin ini.

Heroin filem Adnan Sempit ini mengakui walaupun telah menjalinkan hubungan bersama Kamal, namun mereka berdua masih belum bersedia untuk pergi lebih jauh lagi.

“Buat masa ini memang saya belum lagi terfikir untuk mengikat tali perkahwinan bersamanya, biarlah kami merapatkan lagi hati kami, biar sama-sama mengenali hati budi terlebih dahulu.

“Saya mahukan hidup saya ini stabil terlebih dahulu, barulah saya boleh memikirkan soal kahwin,” ujarnya.

Menjawab mengenai restu keluarga, pelakon ini berkata, kedua-dua belah keluarga telah mengetahui tentang hubungan mereka ini.

“Alhamdulillah, kedua-dua belah pihak keluarga tiada masalah dengan hubungan kami, memang perkara yang paling penting ketika ini adalah kehidupan kami berdua.

“Saya dengan Kamal tidak mempunyai apa-apa masalah. Kami amat rapat, saya senang dengan cara dia, dan dia juga senang dengan cara saya.

“Saya perlu stabil, Kamal pun perlu stabil terlebih dahulu, tentang perkahwinan kami akan bincangkan kembali bersama,” tambah Intan.

Ketika ini Intan turut bergelar pengacara dalam satu siri rancangan televisyen terkenal, Chopp!!.

Intan juga akan muncul dalam dua lagi filem baru, salah satunya adalah sekual kepada filem yang pernah dilakonkannya, Adnan Sempit 2 dan sebuah lagi filem komedi, Bini-biniku Gangster yang dijadual akan ditayang September ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: