Monday, August 1, 2011

FFM24 tetap 'sejuk' di hati karyawan filem


SEBAHAGIAN kecil karyawan filem tanah air yang hadir pada majlis pra-pelancaran FFM24, baru-baru ini.


MAJLIS pra-pelancaran Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24) anjuran Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang diadakan di Kompleks Kraftangan Malaysia baru-baru ini mendapat sambutan dingin daripada para pelakon tanah air.

Majlis tersebut diadakan sebelum berlangsungnya acara kemuncak, Malam Anugerah Gemilang Perdana, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 19 November ini hanya dihadiri pelakon veteran dan beberapa produser tanah air.

Justeru, ramai yang bertanya, mengapa pelakon top seperti Tiz Zaqyah, Rozita Che Wan, Ayu Raudhah, Lisa Surihani, Siti Saleha, Scha Alyahya, Diana Danielle, Fazura, Remy Ishak dan Fizo Omar (sekadar menyebut beberapa nama) tidak hadir pada malam itu?

Apakah pelakon-pelakon top tidak dijemput untuk memeriahkan majlis?

Bagi menjawab soalan tersebut, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik tampil memberikan jawapan kepada wakil media massa menerusi sidang akhbar yang diadakan sejurus selepas majlis pra-pelancaran itu tamat.

"Pihak jawatankuasa dan sekretariat festival filem kali ini telah pun menghantar makluman tentang majlis yang diadakan hari ini.

"Malangnya mereka yang dijemput tidak hadir dan kita sendiri tidak tahu apakah sebabnya.

"Tetapi besar kemungkinan masing-masing sibuk dengan penggambaran.

"Kalau nak diikutkan, untuk majlis pada malam ini, kita telah mengundang ramai artis untuk turut serta tetapi kalau yang hadir tidaklah seperti mana yang kita harapkan, maka kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa," kata Harun yang mengakui terkilan kerana majlis itu tidak mendapat sambutan daripada para karyawan filem khususnya pelakon.

Katanya, pihaknya faham sekiranya golongan pelakon tidak sanggup mengorbankan masa demi semata-mata untuk hadir ke majlis pra-pelancaran FFM24.

Akan tetapi, kata Harun, biar apa pun alasan mereka (pelakon), beliau mengharapkan kehadiran artis dalam majlis yang diadakan kerana itu adalah sebagai tanda sokongan mereka terhadap usaha Gafim menganjurkan majlis FFM kali ini.

"Jujur saya katakan di sini, pihak kami memang mengharapkan pelakon-pelakon boleh melakukan sedikit pengorbanan masa.

"Kami juga mengharapkan kerjasama daripada para penerbit untuk melepaskan seketika, pelakon-pelakon yang terlibat dalam penggambaran untuk menghadiri majlis seperti malam ini.

"Malangnya pihak kita tidak mendapat kerjasama seperti mana yang diharapkan daripada penerbit dan pelakon.

"Pihak kita selaku penganjur sebenarnya sudah berusaha untuk menjayakan majlis pra-pelancaran ini termasuk uar-uarkan menerusi media tetapi hasilnya mengecewakan," katanya.

Ujarnya lagi, pihak penganjur masih mengharapkan media massa membantu memberi kesedaran kepada para pelakon dan karyawan tanah air supaya hadir dan memberi sokongan kepada FFM24.

"Kita buat majlis untuk meraikan mereka tetapi apakah mereka tidak mahu dihargai?

"Apa pun, kami mengharapkan pihak media membantu kita untuk menarik para pelakon dan karyawan filem agar hadir pada FFM24 nanti," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Promosi dan Publisiti FFM24, Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London berkata, beliau sendiri tidak mempunyai jawapan mengapa majlis pra-pelancaran FFM24 tidak mendapat sambutan daripada para pelakon.

"Pihak urus setia terutamanya Pengerusi Jawatankuasa Penjurian & Penyertaan, Nancie Foo sendiri memastikan, pelakon-pelakon dan penerbit dan pengarah dijemput pada malam ini.

"Kalau ikutkan senarai penyertaan, kita ada 88 nama yang telah dijemput tetapi yang hadir, hanya lapan sahaja.

"Saya bukannya nak kata apa tetapi kita anjurkan festival ini untuk mereka dan festival ini pula diadakan setahun sekali.

"Harapan kita, apabila jelajah atau roadtour sempena FFM24 bermula pada 10 dan 12 September nanti di Ipoh, dan diikuti dengan 16 September di Padang Kota, Pulau Pinang, kita mengharapkan ramai artis hadir memberi sokongan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: