|
| Ang Weai Leoong menunjukkan kesan parut kekal pada kaki kirinya akibat ditembak ketika bertugas dua tahun lalu. |
Hari Rabu, 4 November 2009, hampir menjengah pukul 3 pagi dan Inspektor Ang Weai Leoong, bersama enam anggota lain dari Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur sedang bersiap sedia untuk menggempur satu kumpulan samun kereta mewah yang dikenali sebagai Geng Ah Took.
Setibanya di tempat persembunyian geng itu di sebuah kawasan perumahan di Sungai Long, Kajang, pasukan yang diketuai Weai Leoong membuat formasi untuk memerangkap beberapa individu yang dipercayai berada di dalam rumah tersebut.
Weai Leoong bersama seorang lagi pegawai membuat keputusan memberkas penjenayah yang berdegil tidak mahu keluar dari sebuah bilik di dalam rumah itu.
Sejurus selepas seorang anggota polis memecahkan pintu, tiga das tembakan dihalakan tepat ke arah Weai Leoong yang ketika itu sedang berada dalam langkah berjaga-jaga.
Beliau rebah apabila dua dari tiga das tembakan itu mengenai kaki kirinya dari jarak kurang beberapa meter sahaja. Penjenayah yang menembak itu dikenal pasti dalang Geng Ah Took iaitu seorang lelaki dan wanita.
Namun, sepandai-pandai tupai melompat, kedua-dua mereka yang dilihat bersedia untuk melepaskan beberapa das tembakan lagi telah ditembak mati.
"Kejadian itu berlaku sepantas kilat dan saya tidak menyangka tembakan itu mengenai kaki kiri saya kerana saya tidak merasa sakit pun tetapi telah rebah ketika itu," katanya yang kini bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.
Peristiwa itu adalah antara kenangan yang tidak dapat dilupakan pegawai berusia 33 tahun itu dalam kerjayanya sebagai anggota polis yang sememangnya penuh cabaran untuk membantu masyarakat.
Kata Weai Leoong, pasukannya telah merencana operasi itu hampir enam bulan untuk menangkap Geng Ah Took yang telah mengutip keuntungan lebih RM3 juta setelah menyamun lebih 30 kereta mewah sekitar Lembah Klang.
Bercerita lanjut tentang kejadian itu, anak Butterworth, Pulau Pinang itu memberitahu, dia sememangnya bernasib baik apabila dua tembakan itu tidak menyebabkannya mengalami kecacatan kekal.
Jelasnya, tembakan yang mengenai kaki kanan tidak sebegitu parah berbanding di kaki kiri namun ia itu tidaklah menjejaskan saraf utama.
"Kata doktor saya bernasib baik kerana tembakan itu tidak mengenai saraf utama di kaki. Namun kecederaan itu menyebabkan saya berada di hospital selama 10 bulan dan terpaksa menggunakan kerusi roda selama empat bulan.
"Anda boleh bayangkan betapa peritnya saya ketika itu dan ia bukanlah kerana sakit sebaliknya kerana pergerakan saya terbatas. Maklumlah seorang anggota polis, kita sememangnya sentiasa bergerak ke sana-sini dengan cergas," katanya yang kemudian menyelak kaki seluar untuk menunjukkan kesan parut kekal di kaki kirinya itu.
Hasil keberanian Weai Leoong dalam membanteras jenayah sehingga hampir mengorbankan nyawanya itu telah mendapat pengiktirafan dan penghormatan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila dia menerima kenaikan pangkat Pemangku Asisten Supritendan Polis serta pingat keberanian daripada Yang di-Pertuan Agong.
Tambah Wei Leoong, tembakan yang mengenai kakinya itu adalah pengalaman paling perit pernah ditempuhinya namun ia tidak sekalipun mematahkan semangatnya untuk terus kekal dalam institusi keselamatan negara ini.
"Tidak sesekali saya berundur kerana dua butir peluru itu, kerana tembakan itu membuatkan saya menjadi kebal untuk meneruskan tugas membanteras jenayah dan membantu masyarakat," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Balai Polis Petaling, baru-baru ini.
Mengagumi Lee Chong Wei
Sebelum kejadian tembakan di Sungai Long itu, Ang Weai Leoong sememangnya aktif dalam sukan badminton apatah lagi setiap malam, selepas habis tugasan di balai, gelanggang badminton pasti menjadi destinasi yang ditujuinya.
Katanya, sukan itu menjadi hobi beliau kerana ia mampu meningkatkan stamina malah menambah kecerdasan mindanya dalam kerjaya yang penuh tekanan ini.
"Biasanya saya memperuntukkan sekurang-kurangnya dua jam untuk bermain badminton bersama rakan-rakan dan jika beraksi seolah-olah saya lupakan tekanan kerja buat seketika," ujarnya.
Namun kini, bapa kepada tiga orang anak itu sukar untuk melakukan demikian kerana tembakan di kedua-dua kakinya itu telah menjejaskan pergerakannya.
"Saya akui sukar untuk saya melompat untuk memukul bulu tangkis seperti dulu kerana kecederaan yang pernah saya alami ini.
"Walaupun saya telah sembuh sepenuhnya, namun kesannya tetap ada dan ia boleh dirasai ketika saya bersukan. Tetapi itu tidaklah menghalang saya untuk bermain badminton kerana saya masih beraksi dengan perlahan-lahan," katanya yang mempunyai geng bermain badminton sendiri.
Tambah suami kepada seorang usahawan muda ini, dia begitu mengagumi pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.
Permainan yang konsisten serta disiplin yang tinggi juara All England itu menjadi antara sebab dia teruja untuk berada di hadapan televisyen setiap kali kejohanan melibatkan pemain kebanggaan Malaysia itu.
"Chong Wei mungkin saya boleh katakan idola kepada saya kerana dia sentiasa berjuang untuk memastikan kemenangan berada di pihaknya dan konsentrasinya di gelanggang sememang mengujakan saya," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: