ISU Palestin masih relevan hingga hak al-Quds dan umat Palestin dikembalikan. Oleh itu bulan Ramadan wajar diadikan bulan untuk menginsafi kesengsaraan dan pengorbanan umat Palestin yang masih terus dizalimi rejim Zionis.
Umat Islam di seluruh dunia harus mengenali dan memahami isu Palestin. Palestin bukan sekadar difahami sejak era penubuhan negara Israel bahkan mesti diimbau sejak zaman nabi Ibrahim atau tamadun awal manusia lagi.
Istimewanya bumi Palestin kerana ia menjadi tempat berdirinya al-Aqsa yang dikunjungi oleh para nabi.
Bahkan terdapat sejumlah makam nabi di sana.
Atas alasan itu Astro Oasis memilih dokumentari Palestin Bumi Para Anbiya untuk tayangan sepanjang Ramadan.
Menurut penerbitnya, Shahool Hameed Mohd. Meerah, kajian mengenai dokumentari itu bermula sejak tiga tahun lalu.
Ia mengisahkan isu perebutan hak antara rakyat Palestin dengan Israel yang turut membabitkan era Palestin sejak zaman Nabi Ibrahim, Yaakub, Yusuf, Musa, Daud, Sulaiman, Zakaria, Yahya dan Isa.
Penghijrahan Nabi Ibrahim dan Lut dari kawasan Babylon ke Palestin antara lain menjadi hujah penting bahawa Yahudi langsung tidak boleh mendakwa Palestin sebagai tanah watan mereka.
Ini disebabkan Nabi Ibrahim sebagai ninda kepada Nabi Yaakub (Israel) bukan berasal dari Palestin.
Selain itu, sewaktu baginda sampai ke bumi Palestin ia sudah berpenghuni antara lain adalah kaum Jebusite. Kemudian, Nabi Yaakub (Israel) setelah diajak oleh anakandanya Nabi Yusuf akhirnya menetap di Mesir dan tidak pula menetap di Palestin.
Penggambaran filem ini mengambil masa tiga bulan terutama di Syria, Jordan, Turki dan Lebanon.
Antara cabaran terbesar yang dialami oleh krew penggambaran adalah keadaan yang sedang bergolak di Damsyik, Syria.
Dokumentari ini tentunya menyorot perkembangan Palestin selepas era Nabi Muhammad SAW termasuk era Perang Salib dan pasca penubuhan Israel yang membabitkan siri pembunuhan beramai-ramai oleh Zionis ke atas umat palestin, gerakan Intifadah di samping siri pelan damai yang bagai tidak mampu mendamaikan konflik yang ada.
Pelancaran Palestin Bumi Para Anbiya' disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: