SEBAGAI sebuah saluran gaya hidup Muslim, Astro Oasis menerusi saluran 106 sentiasa berusaha untuk meneruskan tradisinya bagi memberikan program islamik terbaik kepada para pelanggan dengan membariskan program-program bermutu tinggi.
Sempena bulan Ramadan al-Mubarak, Astro Oasis dengan kerjasama SNR Multitech Productions menyajikan dokumentari bersiri khas 30 episod berjudul Palestin-Bumi Para Anbiya yang ditaja oleh CIMB Islamic Berhad.
Dokumentari khas yang ditayangkan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini menyorot kembali sejarah bumi Palestin dari zaman Nabi Ibrahim AS sehingga hari ini dengan berpandukan penyelidikan terperinci selama tiga tahun melalui sumber seperti al-Quran, kitab Injil dan kajian daripada beberapa pakar sejarah.
Semasa melancarkan program tersebut, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menyatakan sokongannya terhadap peranan proaktif yang dimainkan pihak Astro, SNR Multitech Productions dan CIMB Islamic Bank Berhad mengadakan program tersebut.
“Pada kesempatan ini, suka saya mengucapkan tahniah kepada pihak Astro Oasis sekali lagi yang berjaya menghasilkan satu penerbitan yang bermutu, ilmiah dan menarik.
“Saya kira tidak mudah untuk menghasilkan satu bentuk dokumentari yang baik tanpa penyelidikan yang mendalam dan teliti,” ucap Mashitah selepas pelancaran program Palestin-Bumi Para Anbiya yang bertempat di Restoran Al-Rawsha, Kampung Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, penerbitan dokumentari ini dilihat amat bersesuaian bagi mencapai objektif Astro Oasis sendiri kerana pengisiannya yang bercirikan pendidikan, pengajaran dan hiburan.
Mungkin jika menceritakan mengenai Palestin, pasti penonton sedia maklum masalah peperangan yang tidak selesai terhadap bumi tersebut.
Namun begitu, jelas Ketua Pegawai Eksekutif SNR Multitech Sdn. Bhd., Shahool Hameed Mohd. Meerah, lima elemen yang diserapkan di dalam dokumentari ini kerana ingin menampilkan perbezaan.
“Kami cuba untuk lari daripada program lain kerana saya difahamkan program-program yang ada banyak menjurus kepada travel log.
“Jadi kami buat sesuatu yang berbeza dengan menggabungkan elemen yang tidak akan membuatkan penonton tidak beralih saluran kerana ingin ketahui apa yang diceritakan,” jelas Shahool turut berterima kasih dengan tujuh orang kru produksinya yang telah membantu menyempurnakan dokumentari ini termasuk tenaga di Palestin sendiri.
Memaparkan elemen realiti yang tidak terancang iaitu apa yang benar-benar berlaku di Palestin, elemen tersebut disokong oleh empat elemen lain iaitu visual, ilustrasi, grafik dan temu bual.
Antara elemen yang diselitkan ialah visual yang merakam kejadian-kejadian serta tempat sejarah sepanjang berada di Palestin.
Selain visual, mereka juga turut menggunakan khidmat pelukis tempatan iaitu Timbalan Pengerusi Persatuan Seni Lukis Kelantan, Ismail Kadir bagi melukis lakaran untuk diselitkan dalam dokumentari tersebut.
“Untuk kisah-kisah Rasul, kami menggunakan illustrasi dan ia perlu dilukis dengan sebaik mungkin. Walaupun kami pergi ke tempat-tempat tersebut namun ia telah pun kosong dan jika kami terlalu fokuskan tempat tersebut, syot akan menjadi terlalu bosan.
“Pengambilan kisah daripada al-Quran telah dihasilkan melalui lukisan. Ini kerana, jika mahu dilakonkan semula ia perkara yang sukar kerana kita tidak mahu lakonkan watak rasul. Untuk berikan pandangan yang baik dan pada masa yang sama mendorong masyarakat memahami illustrasi kami ini, kami gunakan khidmat pelukis,” jelas Shahool.
Grafik juga dimasukkan ke dalam dokumentari ini yang mana penghasilan peta dan maklumat-maklumat kawasan yang dilalui diolah menjadi grafik berwarna agar penonton kelak tahu destinasi serta kawasan yang dilawati.
Menurutnya lagi, elemen dokumentari itu ditambah dengan temuramah bersama pakar rujuk dari pelbagai negara termasuk dari Indonesia, mufti, paderi dan juga termasuk pakar-pakar dari negara Timur Tengah sendiri iaitu dari Jordan, Syria, Palestin dan Lebanon untuk menyokong dan member pendapat tentang fakta yang dikemukakan.
“Kami bersyukur kerana mendapat sokongan dan bantuan daripada ramai pihak untuk menghasilkan dokumentari ini. Kami rasa dokumentari ini akan membuatkan masyarakat mula berfikir dan mungkin ia akan mencabar minda mereka.
“Kami juga inginkan dan berharap penonton teruja untuk melihat apa yang akan dipaparkan pada episod seterusnya,” ujarnya.
Tambahnya: “Setelah berbincang dan mengkaji sedalam-dalamnya, inilah yang mampu kami saji dan laksanakan setakat ini dan mungkin apabila berjaya kelak, dokumentari atau program yang menarik bakal menyusul untuk berikan yang terbaik kepada masyarakat di luar sana.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: