Wednesday, August 17, 2011

Cari ilmu sambut bayi

DYNAS...cukup berhati-hati dengan segala keperluan Khyra.
DYNAS...cukup berhati-hati dengan segala keperluan Khyra.
DR KHOO...dapatkan pengetahuan asas penjagaan bayi lebih awal.
DR KHOO...dapatkan pengetahuan asas penjagaan bayi lebih awal.

MENEMPUH pengalaman hamil selama sembilan bulan adalah sesuatu yang sungguh menakjubkan dan pastinya kelahiran cahaya mata amat dinanti-nantikan.

Bagaimanapun, terdapat persoalan dan kebimbangan bagi ibu yang baru melahirkan anak ataupun pertama kali menjadi ibu dan bapa selepas bayi berkenaan dilahirkan antaranya, kenapa bayi saya menangis? Kenapa bayi saya tidak mahu tidur? Adakah saya memiliki susu badan yang mencukupi? Kenapa punggung anak saya kemerahan? Saya mengalami keletihan melampau.

Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Sime Darby, Dr Khoo Phaik Choo berkata, perkara ini boleh dielakkan sekiranya ibu bapa mendapatkan pengetahuan asas penjagaan bayi lebih awal sebelum bayi dilahirkan.

Menurutnya, setiap peringkat kelahiran adalah berbeza menyebabkan wujud persoalan berlainan di kalangan ibu bapa iaitu apabila bayi baru dilahirkan, bentuk pemakanannya, proses pencernaan, penjagaan kulit bayi dan waktu rehat untuk ibu itu sendiri.


“Bentuk pemakanan awal yang sebaik-sebaik diberikan kepada bayi baru lahir sudah tentulah susu ibu kerana ia mengandungi segala keperluan yang diperlukan bayi bagi membentuk sistem ketahanan badan terhadap segala jangkitan.


“Seelok-eloknya bayi disusukan sekurang-kurangnya lapan hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam,” katanya ditemui di bengkel Menjawab Kebimbangan Ibu Terhadap Persoalan Bayi Baru Lahir anjuran jenama lampin bayi, Pet Pet.

Malah, proses pencernaan bayi juga berbeza dengan golongan dewasa dan kekerapan pembuangan air kecil dan besar antara setiap bayi juga berbeza kerana ia bergantung kepada bentuk pemakanan yang diberikan kepadanya.

Selain itu katanya, adalah perkara biasa sekiranya bayi meneran ketika membuang air kecil atau besar dan ibu bapa tidak perlu risau jika keadaan ini berlaku pada anak mereka.

Bagaimanapun, ibu muda juga bukan saja perlu mengimbangi antara perubahan emosi dan hormon, tetapi turut mengetahui apa yang perlu dilakukan berdasarkan gerak hati mengenai apa yang terbaik bagi bayi mereka.

Contohnya jika bayi menangis ia adalah perkara biasa, tetapi perbuatan itu memberikan kesan kepada ibu bapa dan menimbulkan kerisauan.

Dr Khoo berkata, menangis adalah cara bayi berkomunikasi dengan ibu bapa mereka bagi memberitahu sama ada mereka rasa lapar, sakit, takut, mengalami ketidakselesaan akibat kekotoran lampin dan sebagainya.

“Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa untuk mengesan bentuk tangisan yang dizahirkan bayi bagi membolehkan tindak balas sewajarnya diberikan.

“Bagaimanapun, ia adalah cabaran paling rumit yang perlu dihadapi ibu bapa dalam menentukan bentuk tangisan bayi mereka. Jika tidak pasti, ibu bapa perlu bertenang dan dakap anak (rapat ke dada tetapi tidak terlalu kuat) untuk mengalihkan perhatian mereka sambil mendodoi atau meng�gosok belakang badan anak perlahan-lahan supaya dia berasa tenang dan selesa,” katanya.

Hadir sama Pengarah Perdagangan Disposable Soft Goods (DSG), Foo Yoke Mun dan selebriti, Dynas Mohktar bersama bayinya, Khyra Khaliyssa, 15 bulan.

Sementara itu, Dynas turut berkongsi pengalamannya mengenai cara penjagaan anak memandangkan Khyra boleh dikatakan ‘anak keduanya’ selepas mengalami keguguran sebelum ini.

Tidak dinafikan katanya, disebabkan itulah dia amat berhati-hati dalam segala hal berkaitan Khyra. Malah, dia juga risau banyak perkara yang berkaitan dengan anak kesayangannya itu.

“Ketika kecil Khyra mengalami ekzema yang agak teruk di bahagian kepalanya. Saya dan suami mencuba pelbagai krim untuk membantu melegakan ketidakselesaan Khyra kerana ekzema menyebabkan dia berasa gatal.

“Malah, kulitnya yang sensitif juga menyebabkannya mudah terdedah kepada masalah ruam lampin. Saya cukup berhati-hati dalam memilih lampin pakai buang,” katanya.

Dia yang memberikan susu badan sepenuhnya kepada Khyra berkata, kepada ibu muda yang baru pertama kali memperoleh anak jangan menganggap tanggungjawab baru itu sebagai satu bebanan sebaliknya lakukannya dengan perasaan gembira.

“Walaupun sibuk bekerja pastikan setiap memori yang berlaku pada tumbesaran anak dicatatkan ataupun dirakamkan sebaik mungkin kerana ia adalah kenangan yang sukar dicari dan tidak boleh diulang semula.

“Saya sendiri pernah terlepas untuk mendengar perkataan pertamanya iaitu ‘bibik nak mamam’ yang menyebabkan saya berasa cukup terkilan sehingga kini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: