Tuesday, August 16, 2011

Cabaran memulihara taman laut


Douglas Uggah Embas memotong reben menandakan bemulanya perkhidmatan KTL 1 Pertama dalam usaha melindungi kawasan taman laut sekitar Malaysia.


DI dalam kegelapan malam, sebuah kapal peronda yang dikenali sebagai Kapal Taman Laut (KTL) 1 PERMATA milik Jabatan Taman Laut (JTLM) bergerak laju membelah lautan di sekitar Pulau Tioman, Pahang.

Diiringi dua buah bot peronda laju Taman Laut (PTL), PTL 1 dan PTL 4 yang lebih kecil, mata setiap penguasa meliar memerhatikan keadaan laut yang sedikit bergelora.

Hampir setengah jam menyusur sekitar pesisir pulau, dua kerlipan lampu berwarna merah dikesan dari kejauhan.

Kuasa tujahan kapal ditingkatkan membawa badan kapal laju membelah lautan dalam kegelapan malam menuju kerlipan cahaya tersebut.

Sesekali terdengar arahan dikeluarkan oleh komander kapal KTL 1 berpangkat Pegawai Memerintah Atas Kapal, Mohd. Asri Awalluddin kepada petugas yang berada dalam bot peronda laju untuk menyiasat punca cahaya.

Sejurus mendekati kerlipan cahaya tersebut, lampu limpah dipasang dan terus menyuluh kawasan kerlipan cahaya yang disyaki merupakan bot penceroboh.

Tidak semena-mena kerlipan tersebut hilang dan terdengar deruan enjin bot bergerak laju, tergesa-gesa meninggalkan kawasan tersebut.

Dua bot peronda laju pantas mengejar untuk memintas namun salah sebuah bot tersebut tersangkut pada jaring yang dipasang, penceroboh berjaya meloloskan diri kali ini.

Itu merupakan antara situasi yang di alami sendiri oleh rombongan media ketika menyertai operasi meronda dan menangkap penceroboh di Taman Laut Pulau Tioman bersama Penguasa Taman Laut.

Aktiviti meronda bersama media tersebut diadakan sempena Program Taman Laut Bersama Media di Pusat Taman Laut, Pulau Tioman, Pahang baru-baru ini.

Biar pun kawasan Taman Laut merupakan kawasan larangan bagi sebarang aktiviti tangkapan hidupan laut, namun segelintir penceroboh masih berdegil dan tetap meneruskan aktiviti tersebut.

Menurut Ketua Pengarah JTLM, Dr. Sukarno Wagiman, kawasan Taman Laut sememangnya kaya dengan hidupan marin kerana ia dilindungi sepenuhnya daripada sebarang aktiviti penangkapan.

Jelas Dr. Sukarno lagi, pada tahun lepas sahaja pihak penguatkuasa JTLM telah membuat tangkapan sebanyak 47 kes melibatkan pelbagai jenis kesalahan.

“Biarpun tahun 2010 menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 25 kes namun ia sukar untuk dihapuskan secara keseluruhannya,” ujar beliau.

Tambahnya, hukuman yang lebih tegas seperti didakwa di mahkamah, menaikan kadar kompaun dan denda telah memberi kesedaran kepada nelayan daripada menceroboh.

Pada tahun ini pula dicatatkan 14 kes pencerobohan di mana tujuh kes di Pahang, satu kes di Johor, lima kes di Kedah dan satu kes di Terengganu.

Selain nelayan tempatan, terdapat juga nelayan asing melakukan aktiviti memungut gamat serta melakukan aktiviti menangkap ikan di sekitar taman laut di negara ini.

JTLM turut mengesan aktiviti nelayan asing di sekitar Pulau Yu Kecil dan Lang Tengah, Terengganu.

Jelas Dr, Sukarno, Taman Laut ditubuhkan untuk melindungi dan memulihara pelbagai habitat dan hidupan marin akuatik.

“Taman Laut adalah kawasan perairan laut yang dizonkan sejauh dua batu nautika dari tikas air surut terendah.

“Kecuali Pulau Kapas di Terengganu, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil di Labuan yang dizonkan sejauh satu batu nautika dari tikas air surut terendah,” ujarnya.

Terbaru, dalam meningkatkan penguatkuasaan bagi mengelakkan kes pencerobohan semakin meningkat JLTM telah dianugerahkan sebuah kapal peronda.

Kapal sepanjang 18 meter dan berkelajuan 34 knot tersebut telah dibina dengan kos RM7.5 juta bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9).

Kapal yang dikenali sebagai Kapal Taman Laut (KTL) 1 PERMATA akan digunakan bagi aktiviti pemantauan serta penguatkuasaan di kawasan perairan Taman Laut di Pahang, Johor dan Terengganu.

Pada ketika ini kekuatan anggota penguatkuasaan JLTM adalah seramai 138 orang dengan jumlah bot sebanyak 22 buah.

Bot yang sedia ada iaitu bot peronda laju kurang sesuai untuk digunakan semasa musim tengkujuh iaitu pada bulan November hingga Januari kerana laut bergelora.

Kapal Taman Laut (KTL) 1 PERMATA memiliki saiz yang lebih besar mampu meningkatkan keupayaan JTLM untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan semasa musim tengkujuh.

Kapal tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas pada majlis perasmian di Pusat Taman Laut, Pulau Tioman baru-baru ini.

Selain bergerak sendiri, JTLM turut mendapatkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: