Monday, August 1, 2011

Busana khas tradisi nyonya




ZANNA OMAR mempunyai sebab tersendiri saat dia mula-mula mahu mewujudkan butik Jelita Sari. Dalam fikirannya, jahitan sulaman tradisi masyarakat Melayu dan Nyonya yang terkenal sejak turun-temurun masih ada penggemarnya.

Daripada sulaman kerancang, sulaman ayak, sulaman benang, sulaman peniti, sulaman riben hinggalah ke sulaman pita, Zanna mempunyai kepakaran mengenai semua teknik tersebut yang kini semakin luput dalam kalangan generasi muda.

Seni yang jarang diperturunkan itu kini cuba dihidupkan kembali oleh Zanna. Buktinya, butik Jelita Sari menawarkan pelbagai pilihan kebaya dan baju kurung yang dihiasi perincian sulaman pelbagai bentuk.

"Semasa saya kecil, saya suka melihat Allahyarham Saloma mengenakan kebaya ketat yang kecil dipinggang, berkain batik gulung dan bersanggul tinggi.

"Seni fesyen seperti itu kini sudah tiada tetapi, ia diperbaharui dan melalui arus kemodenan sehingga terhasil baju kebaya masa kini yang lebih moden," katanya.

Zanna memberitahu, butik Jelita Sari diilhamkan untuk mengekalkan tradisi sulaman kerancang atau kerawang serta turut dikenali sebagai sulaman nyonya dalam kalangan penggemar kebaya nyonya.

"Sulaman ini amat digemari oleh golongan Baba dan Nyonya di Melaka tetapi, wanita sekarang lebih selesa mengenakan baju kurung pesak atau moden.


BAJU kurung tampil lebih indah dengan sulaman peniti yang halus.


"Justeru, sulaman kerancang ini disesuaikan untuk dijadikan sebagai satu seni hiasan pada busana si pemakai dengan motif yang lebih moden," katanya.

Mewahkan fabrik

Tambah Zanna, sulaman menjadikan sehelai pakaian tampak indah kerana ia bukanlah seni yang mudah malah, dibuat dengan berhati-hati bagi memastikan kekemasan dan kualiti.

"Sulaman lazimnya dibuat mengikut motif bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan atau alam semula jadi. Ia amat sesuai dengan keperibadian wanita yang lembut dan halus," katanya.

Menurut Zanna, sulaman wujud dalam banyak jenis dan yang paling terkenal ialah sulaman kerancang yang namanya diambil daripada perkataan Indonesia.

"Sulaman kerancang merupakan seni halus dan teliti. Ia menggunakan seni ayak dan goyang yang merupakan seni tangan yang sukar untuk didapati pada masa kini.

"Ia mempunyai jaringan yang dipanggil sebagai krell yang merupakan jaringan berbentuk seperti sarang labah-labah," katanya.

Kongsi beliau lagi, teknik sulaman tersebut bergantung kepada kecekapan penjahit untuk melakarkan motif atau corak sulaman tanpa menggunakan komputer.

"Sulaman ini boleh digunakan pada kebaya pendek atau labuh serta baju kurung pesak, moden atau Pahang.

"Ia akan lebih menyerlah pada material kain kosong seperti sutera, taffeta dan kain kapas. Malah, ia boleh juga disulam pada kain bercorak," katanya.

Sulaman yang turut memerlukan kemahiran yang tinggi ialah sulaman ayak iaitu sulaman yang menggunakan teknik yang sama seperti sulaman kerancang tetapi tidak mempunyai krell yang membentuk seperti sarang labah-labah.

"Sulaman ini membentuk corak atau motif sulaman dengan jahitan benang berwarna-warni. Ia juga sesuai disulam pada baju kurung moden atau pesak tetapi, tidak sesuai untuk baju kebaya.

"Ia juga dibuat dalam sulaman bercorak timbul bagi menampakkan seolah-olah ia hidup," katanya.

Sementara itu, sulaman benang pula katanya merupakan teknik sulaman yang menggunakan 100 peratus tangan tanpa bantuan mesin jahit atau komputer untuk menjalinkan benang yang berwarna-warni bagi membentuk corak yang diingini.


SENI sulaman ayak yang menggunakan dua warna kontra.


"Sulaman ini juga tidak sesuai disulam pada baju kebaya, sebaliknya lebih sesuai disulam pada baju kurung moden atau pesak," katanya.

Ketelitian sulaman peniti

Zanna turut memperkenalkan sulaman peniti yang merupakan sulaman teknik simpulan benang pada akhir sulaman.

"Teknik ini agak sulit kerana jahitannya juga 100 peratus menggunakan tangan.

"Sulaman untuk sepasang baju sahaja memakan masa sehingga dua bulan. Selain itu, sulaman ini lebih kepada motif bunga-bungaan menggunakan dua warna benang yang berbeza," katanya.

Dalam pada itu Zanna memberitahu, sulaman riben atau pita pula merupakan teknik sulaman menggunakan benang dan riben.

"Riben bersaiz kecil dan nipis ini selalunya digunakan untuk membentuk bunga atau corak utama baju, manakala benang hanya digunakan untuk menjahit riben tersebut pada kain," katanya.

Menurut Zanna, baju bersulam kini seharusnya diperkenalkan kepada penggemar fesyen bagi menggalakkan mereka menggunakan sulaman bagi menghiasi busana mereka.

"Ia melambangkan seni ketimuran dan kemelayuan kepada si pemakai serta menggalakkan anak-anak muda untuk mempelajari teknik sulaman ini supaya ia tidak hilang dek zaman," katanya.

Zanna memberitahu, dia mahu menghidupkan kembali trend kebaya Nyonya yang sarat perincian tradisi Melayu dan nyonya.

"Kini, tidak ramai yang pandai atau mempelajari teknik sulaman, justeru seni itu semakin hilang kini.

"Lebih-lebih lagi, ramai anak muda kini selesa mengenakan baju kurung, kurung pesak atau kebaya ringkas yang tidak disulam," katanya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: