Sunday, August 21, 2011

Bergendang selagi tak bangun

CARI REZEKI...penduduk di kaki Gunung Merapi menunggu pelancong yang mahu menyewa motosikal.
CARI REZEKI...penduduk di kaki Gunung Merapi menunggu pelancong yang mahu menyewa motosikal.

SERUAN berkali-kali supaya bangun sahur dari sebuah masjid pada jam 3 pagi mengejutkan saya yang nyenyak tidur di kediaman rakan di pinggir kota Jogjakarta, Indonesia.

Saya ke dapur dan mendapati makanan untuk bersahur siap terhidang manakala rakan saya, Inggried Dwi Wedhaswary dan suaminya, Aryo Subarkah Eddyono tersenyum melihat saya yang masih terpinga-pinga.

  • Foto

    JUADAH BERBUKA...orang ramai membeli juadah berbuka di Pasar Kauman.

  • Foto

    KENANGAN...penulis bergambar dengan berlatar belakang Gunung Merapi.

  • Foto

    MERIAH...suasana sibuk orang ramai yang membeli juadah berbuka di Pasar Kauman.

  • Foto

    PERCUMA...bungkusan makanan dan minuman yang disediakan untuk umat Islam yang berbuka puasa di Masjid Gedhe Kauman.

  • Foto

    MASJID TUA...pintu masuk Masjid Gedhe Kauman yang berusia lebih 200 tahun.

Menurutnya, seruan bangun sahur serta pemberitahuan waktu imsak dari masjid adalah perkara biasa di Indonesia, malah di sesetengah tempat, sukarelawan membabitkan beberapa pemuda bergendang sekeliling kampung mengejutkan orang bersahur. Selagi lampu di rumah itu tidak bernyala, selagi itulah mereka bergendang.

Ini kali kedua kunjungan saya ke Jogjakarta atau Jogja, namun kedatangan ke bandar yang dikenali sebagai Kota Budaya itu pada bulan puasa sesuatu yang baru buat saya. Memang itu tujuan asal saya iaitu menikmati suasana puasa di negara orang dan Jogja menjadi pilihan kerana terkenal dengan kemeriahan sambutan Ramadan.


Kemeriahan itu lebih terasa sehari sebelum satu Ramadan apabila kedatangan bulan mulia itu disambut meriah seumpama pesta dengan paluan gendang dan perarakan, namun saya terlepas kerana tiba di sana selepas lima hari umat Islam berpuasa.


Hanya pada bulan puasa adanya Pasar Kauman yang terletak di Kampung Kauman, Kraton yang seakan-akan mirip bazar Ramadan di Malaysia, bezanya urusan jual beli dijalankan di lorong antara kawasan perumahan milik peniaga.

Selain makanan dan minuman, ada beberapa jenis kuih istimewa yang hanya boleh diperoleh pada bulan puasa seperti ‘kicak’ yang diperbuat daripada pulut dan kelapa dengan hirisan nangka serta ‘carang gesing’ dibuat daripada pisang, telur dan santan.

Dua jenis kuih ini hanya dibuat oleh susur galur keturunan ‘Abdi Dalem’ iaitu mereka yang pernah berkhidmat di istana atau kraton di Jogja.

Berbuka puasa di Masjid Gedhe Kauman iaitu masjid tertua di kota itu yang dibangunkan Sultan Hamengku Buwono I pada 1773 juga menarik kerana dipenuhi jemaah. Setiap hari sepanjang Ramadan, 700 bungkusan makanan disediakan secara percuma untuk umat Islam berbuka, jadi tidak hairan masjid itu sentiasa dipenuhi orang ramai.

Namun pengalaman paling menarik ialah berbuka puasa di laluan pejalan kaki sekitar Universitas Gadjah Mada, pelanggan perlu duduk bersila di atas hamparan tikar sambil menunggu pesanan.

Saya juga ‘berkenalan’ dengan beberapa jenis sambal yang memiliki pelbagai nama gelaran lucu seperti raksasa, the end, hati-hati, horror, hantu kiper dan smack down kerana tahap kepedasan yang terasa ‘mencucuk’ ubun-ubun.

Kebanyakan pelanggan yang berbuka puasa di situ pula adalah golongan muda dan penuntut universiti. Sambil menikmati hidangan berbuka, penghibur jalanan tidak putus-putus datang menyanyi bagi mendapat sedikit sumbangan.

Saya juga mengambil peluang itu untuk melihat keadaan terbaru di kawasan penempatan di kaki Gunung Merapi yang meletus tahun lalu sehingga mengorbankan ratusan nyawa.

Kini kawasan itu yang kebanyakannya dalam pemulihan dijadikan tempat kunjungan pelancong, sekali gus membuka pintu rezeki kepada masyarakat setempat.

Selain menjual kemeja T dengan gambar Mbah Maridjan, juru kunci Gunung Merapi yang terkorban dalam tragedi letusan itu sehingga ke foto dan buku, masyarakat setempat menyediakan perkhidmatan membawa pelancong ke tapak kediaman Mbah Maridjan menggunakan motosikal.

Seorang penduduk di situ memberitahu saya, kebanyakan mereka tidak mahu berpindah kerana di situ asal mereka walaupun ada kemungkinan Merapi meletus lagi.

Pengalaman berpuasa di tempat orang selama beberapa hari dengan melihat budaya serta adat mereka sangat menarik, menyebabkan saya mula berfikir ke mana pula mahu menyambut Ramadan tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: