Tuesday, August 23, 2011

Awang Jaafar Ketua balai termuda


TEGAS... beliau sentiasa memantau tugas di balai bagi memastikan kelancaran operasi.


DIBERI tanggungjawab untuk mengemudi sebuah balai polis yang terletak di dalam pusat bandar di ibu kota bukan satu perkara yang mudah.

Ia menjadi lebih mencabar apabila masih belum berpengalaman dan tempoh perkhidmatan yang belum genap sedekad.

Namun perkara itu terpaksa dihadapi Ketua Balai Polis Tun H.S Lee, Inspektor Awang Jaafar Awang Salihin yang baru berusia 29 tahun.

Berbanding balai-balai lain, Balai Tun H.S Lee mempunyai tanggungjawab yang agak berat kerana mempunyai dua tempat tumpuan di dalam kawasan pentadbirannya.

Kawasan berkenaan adalah Jalan Petaling yang merupakan tumpuan pelancong dan keduanya, Hentian Puduraya.

Kedua-dua kawasan berkenaan tidak pernah terlepas daripada kejadian jenayah seperti samun, selup saku dan kecurian.

Berikutan itu, Awang Jaafar ketika mula diberikan tanggungjawab sebagai ketua di balai itu terpaksa memerah otak untuk memberikan keselamatan kepada orang ramai di dua kawasan berkenaan.

Sebagai seorang pegawai polis yang cekap dan komited dalam tugasan yang dipikul sejak lima tahun lalu, beliau mempunyai formula sendiri untuk menangani masalah berkenaan.

Awang Jaafar memberitahu, dalam usaha untuk mengawal keselamatan di kawasan Jalan Petaling dan Hentian Puduraya, beliau telah meletakkan pondok polis di kawasan tersebut.

"Ini bagi memudahkan pihak polis berjumpa dengan persatuan peniaga serta pemilik premis berdekatan.

"Saya juga meminta kerjasama daripada pengawal keselamatan yang bertugas di Hentian Puduraya untuk menyalurkan maklumat jika mengesyaki sesuatu.

"Melalui kerjasama itu, kadar jenayah dapat dikurangkan manakala orang awam dan pelancong berasa semakin selamat untuk berjalan-jalan dan membeli belah," katanya kepada Gaya Polis baru-baru ini.

Selain itu, sebagai bos muda, Awang Jaafar juga dipertanggungjawab untuk menjaga kebajikan warga balai yang terdapat di antara mereka yang lebih tua dan sebaya dengan bapanya.

Baginya, ramuan yang penting untuk mentadbir balai adalah keadilan bagi semua pihak kerana ia akan memberikan keberkatan kepada semua pihak termasuk dirinya.

Walaupun menggunakan konsep rakan, tetapi beliau tetap tegas jika terdapat anggota yang menimbulkan masalah dalam tugasan.

Kenaikkan pangkat

Berbanding dengan pegawai lain yang mungkin masih bertugas sebagai pegawai penyiasat, pastinya ada sebab Awang Jaafar telah diberi kepercayaan untuk menjadi ketua balai.

Rezeki kenaikan yang diterimanya berpunca daripada kejayaan beliau dinobat sebagai Pegawai Penyiasat Terbaik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2010.

Kejayaan tersebut diperolehi Awang Jaafar ketika usia perkhidmatan beliau baru mencecah empat tahun.

Walaupun agak terkejut dengan kemenangan itu, namun beliau bersyukur kerana segala hasil kerjanya dihargai oleh peringkat atasan polis.

Berkongsi semula ramuan kemenangan tersebut beliau berkata, ketika menjalankan tanggungjawab sebagai pegawai penyiasat, beliau sentiasa berusaha menyelesaikan setiap kes.

Menurutnya, perkara paling penting dalam siasatan ialah ketika merekodkan keterangan daripada tertuduh.

"Ketika merekodkan keterangan saya akan cuba mendapatkan maklumat selengkap mungkin untuk memastikan kertas siasatan dilengkapkan dengan sepenuhnya.

"Ini kerana kertas siasatan yang lengkap tidak akan dipulangkan oleh Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan akan mempercepatkan pertuduhan dilakukan," katanya.

Berikutan sikap Awang Jaafar yang komited dalam menjalankan tugas, belai sering menjadi rujukan pegawai penyiasat lain.

Jika ketiadaan pengawai penyiasat senior (SIO), beliau sering diberi kepercayaan memantau tugasan pegawai penyiasat lain.

Malah beliau juga dipanggil untuk membantu dalam menjalankan siasatan dalam kes berprofil tinggi.

"Walaupun saya tidak menjadi pengawai penyiasat dalam kes-kes berprofil tinggi yang pernah dilakukan namun ia memberi satu pengalaman yang cukup berharga.

"Setiap peluang yang diberikan, akan saya gunakan dengan baik sehingga kejayaan dapat diperoleh melaluinya," ujarnya.

Berikutan kecemerlangan ketika menjalankan siasatan sehingga meraih pegawai penyiasat terbaik, beliau telah dicadangkan untuk bertugas sebagai ketua balai oleh Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Wan Khalid.

1 comment:

  1. Seorg polis yg sgt cekap.Tahniah tuan awang ;) <3 ruby

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: