Tuesday, August 2, 2011

Apa kami nak makan?


SEBAHAGIAN daripada hampir 400 pekerja Dawama berpiket selepas diarah bercuti tanpa gaji di Hulu Klang semalam.


KUALA LUMPUR - Sebanyak 380 pekerja syarikat percetakan dan pemasaran buku, Dawama Sdn. Bhd. (Dawama) di Hulu Klang dekat sini kini hilang punca pendapatan apabila diberi notis cuti tanpa gaji dengan tiada tempoh tamat berkuatkuasa mulai semalam.

Tindakan itu sekali gus mencetuskan kesedihan di kalangan pekerja dan keluarga masing-masing yang kesemuanya beragama Islam memandangkan ia dilakukan tanpa notis serta serentak dengan hari pertama umat Islam berpuasa semalam.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama, Zainal Alwit berkata, pihak pengurusan hanya memberi alasan syarikat menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan operasi harian termasuk bayaran gaji kakitangan.

"Sehingga kini, pihak syarikat tidak memberikan kata putus sampai bila cuti tanpa gaji ini dibuat.

"Soalnya, sampai bila hendak tunggu? Bagaimana kami boleh menampung kos sara hidup keluarga lebih-lebih lagi Aidilfitri semakin hampir," katanya ketika ditemui di pekarangan kilang syarikat itu semalam.

Sebelum itu, seramai 80 kakitangan menyertai demonstrasi aman di hadapan kilang sebagai membantah keputusan syarikat.

Dawama yang beroperasi sejak September 2002 diberi kontrak mencetak serta mengedarkan buku dan majalah terbitan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) melalui kontrak yang akan berakhir pada 2014.

Zainal berkata, terdapat sebilangan kakitangan menerima surat daripada bank menyatakan mereka tidak melunaskan pinjaman peribadi sedangkan potongan gaji dilakukan syarikat bermula November 2010 sehingga Februari lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: