Monday, August 8, 2011

Alternatif jambatan aero

Penggunaan payung tidak relevan ketika hujan lebat kerana akan menjejaskan keselesaan penumpang.

BAGAIMANA operasi dikendalikan di Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang merupakan antara isu yang sering dibangkitkan kepada syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia.

Pengurus Strategi, Inovasi dan Pengalaman Pelanggan AirAsia, Zaman Ahmad berkata, permintaan daripada pelanggan semakin meningkat dan AirAsia berusaha untuk memenuhi keperluan itu.

Jambatan aero tidak sesuai dengan model perniagaan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang murah.

“Antaranya ialah pergerakan penumpang antara terminal dan pesawat berikutan AirAsia tidak menggunakan kemudahan jambatan aero.

“Jika kami menggunakan kemudahan itu seperti syarikat penerbangan perkhidmatan penuh maka kos penggunaan tersebut terpaksa dialihkan kepada penumpang dan itu sesuatu yang bercanggah daripada model perniagaan AirAsia,” katanya.

Sehubungan itu Zaman berkata, pengenalan Terowong Hujan merupakan jawapan kepada maklum balas penumpang bahawa terdapat pilihan lain sebagai alternatif.

Terowong Hujan merupakan alternatif kepada penggunaan jambatan aero bagi syarikat penerbangan tambang murah seperti AirAsia.

Difahamkan, caj bagi penggunaan jambatan aero di LCCT dianggarkan kira-kira RM85 bagi satu-satu masa sedangkan AirAsia melakukan sehingga 700 penerbangan setiap hari.

Zaman berkata, jika itu anggaran kos yang terpaksa ditanggung oleh AirAsia dalam sehari maka bagaimana pula bagi setahun yang pastinya jumlahnya sangat besar?

Jelasnya, kos tersebut sudah boleh ‘membunuh’ syarikat penerbangan tambang murah melainkan ia dialihkan kepada penumpang menerusi tambang.

Frank Bateman

“Jika kami menggunakan satu jambatan aero sekali pun, tidak mungkin dapat mengejar masa dari satu pesawat ke pesawat lain pada satu-satu masa,” katanya.

Zaman berkata, Terowong Hujan akan mula digunakan sebagai kemudahan penumpang apabila mendapat kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam.

“Kami menjangkakan penggunaannya selewat-lewatnya pada suku pertama tahun 2012 namun lagi cepat adalah bagus demi keselesaan penumpang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus CustomerCare AirAsia, Frank Bateman pula berkata, kira-kira 1,500 maklum balas daripada pelanggan pada setiap hari meliputi pujian, aduan dan cadangan berkaitan dengan produk dan perkhidmatan AirAsia.

“Segelintir penumpang mencadangkan supaya AirAsia menggunakan jambatan aero sebagai kemudahan untuk pergerakan mereka antara pesawat dan terminal terutama ketika cuaca buruk.

Zaman Ahmad

“Ada penumpang yang melihat penumpang lain dalam keadaan basah kerana cuaca hujan lebat maka terpanggil untuk memberikan maklum balas,” katanya.

Frank bagaimanapun berkata, penggunaan jambatan aero hanya memberi kos sampingan yang tidak bersesuai dengan matlamat AirAsia untuk menyediakan tambang murah dan tidak mahu kos sampingan itu membebani penumpang.

“Kami sememangnya mendengar maklum balas mereka sama ada aduan, cadangan atau permintaan maka perbincangan dilakukan bagi menyelesaikan perkara itu.

“AirAsia merupakan syarikat penerbangan tambang murah tetapi pada masa yang sama, bertanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

“Jika sebelum ini terdapat aduan mengenai keadaan sewaktu cuaca buruk dan cadangan untuk menggunakan jambatan aero maka Terowong adalah jawapannya,” katanya.

AirAsia diiktiraf sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2009. Sehingga kini, AirAsia termasuk syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh, AirAsia X telah menerbangkan 115 juta penumpang Orang ramai boleh memberikan maklum balas menerusi twitter, facebook dan portal askairasia.com serta forum dan sembang secara langsung di laman web www.airasia.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: