KELAM suasana Aidilfitri dirasakan pelakon Aeril Zafrel, 23, tahun lalu tanpa kehadiran tonggak dalam keluarga apabila bapanya, Suhari Sulaiman menghadap Ilahi pada 4 Disember 2009 akibat barah tonsil. Terasa bagaikan burung patah sayap tanpa insan bergelar ayah.
Tahun ini, dugaan lebih besar dilaluinya apabila menempuhi Aidilfitri tanpa ibu bapa apabila emaknya, Supiah Munahid, menyusul panggilan Ilahi pada 30 November 2010.
Ketiadaan ibu nyata kehilangan yang amat besar dan pengalaman perit buat Aeril Zafrel, sehingga pemuda dilahirkan dengan nama Suhairil Suhari ini tidak mampu membayangkan bagaimana suasana Aidilfitri kali ini.
“Tahun lalu saya masih sempat beraya dengan emak walaupun ketika itu dia sudah kritikal. Kehadiran emak masih membuatkan sambutan Aidilfitri bermakna sekalipun kekosongan dirasai kami adik-beradik menyambut hari yang mulia tanpa ayah.
“Tapi... (sejenak melayang) entahlah saya tidak pasti bagaimana sambutan Aidilfitri kali ini. Saya sendiri pun belum sempat berbincang dengan adik-beradik mengenai siapa yang akan menguruskan persiapan raya seperti menyediakan kuih- muih, hidangan untuk tetamu yang bertandang ke rumah apabila kami pulang ke Kota Tinggi, Johor nanti.
“Persiapan saya mungkin dari segi mengeluarkan duit belanja. Alhamdulillah, tahun ini ada rezeki lebih sikit untuk saya dan keluarga,” katanya.
Mengakui dirinya anak paling rapat dengan arwah ibu sehingga diberi gelaran Yayang oleh ibunya, Ramadan langsung tidak menarik minatnya untuk pulang ke kampung di Sungai Kluang, Kota Tinggi.
Bukan lupa asal-usul, tetapi anak keempat daripada lima beradik ini enggan dibelenggu kesedihan yang masih bersisa atas pemergian ibu yang melahirkan dan kerana itulah dia memutuskan tidak pulang ke kampung sepanjang Ramadan ini.
“Banyak kenangan manis bersama arwah kedua-dua orang tua terutama ibu. Dulu setiap kali Ramadan saya pasti pulang ke kampung. Tetapi sejak emak sudah tiada, rasanya tak payah balik pun tak apa kerana ia akan membuatkan saya semakin sedih teringatkannya.
“Apatah lagi, kepulangan saya setiap kali Ramadan pasti disambut emak dengan hidangan istimewa, asam pedas ikan mayong yang menjadi kegemaran sejak kecil,” katanya.
Aeril yang ditemui di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur sempena mempromosikan Bufet Ramadan hotel itu mengakui hidupnya tidak sunyi di Kuala Lumpur kerana mempunyai kawan yang sentiasa menghulurkan bantuan dan menghiburkan hatinya.
Aktiviti seni juga makin terisi dan untuk Ramadan kali ini, pelakon bermata redup dan kacak ini menerima pelbagai undangan majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran syarikat swasta, persatuan hiburan, produksi drama dan filem termasuk stesen televisyen.
Pemuda yang melonjak menerusi drama bersiri Durja Ningsun ini sedang sibuk menjalani penggambaran Ramadhan Terakhir yang bersiaran di slot Samarinda setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam di TV3, sejak 26 Julai lalu.
Ramadan Terakhir mengisahkan Hisham, usahawan yang berjaya membimbing isteri dan anaknya untuk kembali ke jalan yang benar di sisi agama Islam.
Dia disahkan menghidap kanser kronik dan mampu bertahan beberapa bulan saja lalu bertekad untuk membetulkan semula haluan hidup yang tercemar dengan pelbagai dosa sepanjang hidupnya.
Perubahannya itu dipandang sinis isterinya, Mazni yang terus hanyut dibuai keenakan dan keseronokan. Lebih menyedihkan, anak lelaki mereka, Daniel turut terbabit dalam pergaulan dan perlakuan tanpa batas bersama teman wanitanya, Rossa. Drama arahan Engku Ismail ini diterajui Esma Daniel, Fazlina Ahmad Daud, Tasha Shilla, Eyka Farhana dan Nur Anzalna.
Kata Aeril, dia memegang peranan Daniel, anak kepada Hisham dalam drama itu. Keluarga Hisham memang bermasalah dan puncanya adalah wang.
“Bagaimanapun, Hisham tersedar hingga berusaha membimbing keluarganya ke pangkal jalan, namun hasratnya itu dipandang sepi ibu Daniel termasuk Daniel sendiri.
“Watak saya nampak seorang yang matang dan ‘cool’, tetapi dia sebenarnya memberontak dan tidak menghormati orang tua. Sebelum Ramadan Terakhir, saya baru saja menyempurnakan penggambaran filem 7 Petala Cinta arahan Azahari Zain dua minggu lalu.
“Ini filem pertama saya sebagai pelakon utama dan membawakan watak Attar. 7 Petala Cinta mengisahkan kehidupan sekolah pondok apabila Attar mengabdikan kehidupannya di situ setelah memperoleh hidayah.
“Watak ini antara paling sukar pernah saya lakonkan apatah lagi untuk menunjukkan ekspresi wajah yang benar-benar insaf dalam beberapa babak,” katanya.
Semakin positif kerjaya lakonannya berkembang, Aeril mula diperkenalkan menerusi layar lebar buat pertama kalinya melalui filem Aku Tidak Bodoh dan turut menjadi pilihan KRU Studio memegang watak utama filem Cinta Si Kura Kura yang turut menampilkan Tizz Zaqyah sebagai heroin.
KRU yang sebelum ini sinonim dengan filem CGI, mencuba nasib dengan filem bertemakan percintaan. Paling menarik, Zizan Raja Lawak akan menyumbangkan suara sebagai kura-kura untuk filem ini.
“Watak saya agak ‘sengal’ atau lelaki lurus bendul. Filem ini diarahkan Niezam Zakaria. Pembikinan filem ini begitu menyeronokkan dan saya selesa bekerjasama dengan Tizz Zaqyah yang saya kira seorang yang tidak sombong dan terbuka menerima pendapat,” katanya.
PROFIL:
NAMA SEBENAR: Suhairil Suhari
NAMA KOMERSIAL: Aeril Zafrel
TARIKH LAHIR: 2 Disember 1988
USIA: 23 tahun
ZODIAK: Sagittarius
KARIER: Pelakon, model
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak keempat daripada lima beradik
DRAMA: Kisah Kaisara, Kasut Tumit Tinggi, Kita, Senja Permai, Durja Ningsun dan Klik
FILEM: Aku Tak Bodoh, Cinta Kura Kura dan 7 Petala Cinta
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: