Saturday, June 11, 2011

Zalifah Ibrahim seronok berniaga


ANAK keduanya, Mohd. Sharul antara yang banyak membantunya berniaga di gerainya.


MENYANYI dan berniaga merupakan dua bidang yang dekat dengan diri Zalifah Ibrahim. Penyanyi yang popular pada tahun 1970-an dan 1980-an itu menjadikan dunia nyanyian dan perniagaan berjalan seiring.

Bagaimanapun, selepas merakamkan album terakhir berjudul Usah Cemburu pada tahun 1984, penyanyi berusia 55 tahun ini seakan-akan menyepikan diri daripada dunia yang penuh dengan glamor itu.

Sejak saat itu, Zalifah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah, lebih banyak menumpukan masanya kepada bidang perniagaan. Pelbagai jenis perniagaan telah diceburinya selepas dia kurang aktif menyanyi.

Menurut anak jati Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur ini, dia membabitkan diri dalam dunia perniagaan bukan sebagai sumber rezeki tetapi juga kerana minat yang mendalam, selain mengisi masa lapangnya.

“Saya telah menjalankan pelbagai jenis perniagaan. Daripada berniaga makanan sehinggalah kepada bidang jahit menjahit pakaian telah saya cuba. Selepas tidak merakamkan album, inilah dunia saya,” katanya kepada S3 baru-baru ini.

Pada pertemuan di gerai Nasi Ayam Penyet miliknya yang terletak di Medan Selera Setiawangsa, Kuala Lumpur itu, dia sedang sibuk membuat persiapan bagi menjalankan perniagaannya.

Sambil dibantu oleh anak keduanya, Mohd. Sharul Bolkiah, 29, Zalifah menyediakan pelbagai jenis makanan terutamanya menu nasi ayam penyet yang dipelajarinya sewaktu berkunjung ke Pulau Bali, Indonesia tidak lama dulu.

“Saya memang jenis yang susah hendak duduk diam. Apabila kurang aktif menyanyi, saya lebih suka berniaga sendiri. Jadual harian saya sibuk bermula tengah hari di mana gerai saya akan dibuka mulai pukul 5 petang hingga 11 malam.

“Setiap hari Isnin hingga Jumaat, saya akan berniaga, manakala Sabtu dan Ahad saya akan melakukan aktiviti sendiri termasuklah balik ke rumah saya di Taman Rashidah Utama, Seremban kalau ada kelapangan,” ujarnya.

Dengan gerai yang disewa daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada kadar RM160 sebulan, dia bersyukur dengan sambutan pelanggan yang begitu menggemari menu nasi ayam penyet dengan sambal tomato itu.

Namun begitu, dia yang baru berkahwin dengan Abdul Wahid Rahim, 58, tiga tahun lalu selepas kematian suami pertamanya mengeluh sedikit kerana gerainya yang berada di tingkat satu medan selera itu kurang strategik.

“Mujurlah seorang kawan yang berniaga di tingkat bawah di medan selera ini memberi ruang saya berniaga di depan gerainya di mana selepas itu barulah ramai sedikit pelanggan saya. Apatah lagi, persaingan berniaga di sini sengit juga,” jelasnya.

Selain menu nasi ayam penyet, turut disediakan di gerai penyanyi veteran itu antaranya kuey teow kerang, mee hailam, spaghetti bolognese di mana sejak mengubah lokasi serta strategi perniagaannya itu semakin menggembirakannya.

Bekas peserta pertandingan Bakat TV anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) tahun 1971 ini berkata, biarpun sibuk berniaga tetapi dia masih menerima undangan menyanyi di merata-rata tempat terutamanya di Negeri Sembilan.

Kata ibu kepada empat anak kandung dan lima anak tiri serta seorang cucu ini, dia sehingga kini masih aktif menyertai kumpulan cak lempong yang dikenali sebagai Nur TA Najihah yang aktif mengadakan persembahan di negeri itu.

“Walaupun saya bukan orang Negeri Sembilan tetapi saya banyak menyanyikan lagu-lagu loghat mereka seperti Kelok Sembilan dan Bongai. Apapun saya gembira kerana setidak-tidaknya bakat menyanyi saya tidak hilang begitu sahaja.

“Selain menyanyi bersama-sama kumpulan itu, saya juga aktif menjalankan pelbagai aktiviti amal seperti majlis berzanji bersama kumpulan Kawan (Kumpulan Artis Wanita Veteran) yang saya sertai sejak 20 tahun lalu,” ujarnya lagi.

Hasil perkahwinan penyanyi veteran yang cukup peramah ini dengan arwah suami pertamanya, Abdul Jalil Din dia dikurniakan empat anak iaitu Heina Suheila, 24, Heina Faeza, 23, Heina Karina, 22, dan Taufik Hidayat, 17.

Sementara itu, Zalifah turut menganggap lima lagi anak hasil perkahwinan terdahulu suaminya kini iaitu Zureen Azwan, 35, Mohd. Sharul, 29, Ahmad Firdaus, 26, Wahida, 28, dan Farah, 25, seperti anak-anaknya sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: