Tuesday, June 28, 2011

Inspirasi ubat rindu Man Bai


MAN BAI akui Inspirasi lahir daripada jiwanya.


HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Itulah pepatah Melayu yang digenggam erat oleh penyanyi bersuara parau, Man Bai yang juga merupakan anggota kumpulan Gersang yang pernah popular di era 1980-an.

Biarpun telah 12 tahun menyepi diri tanpa sebarang album mahupun single, nama Man Bai tidak pernah lupus dari persada seni tanah air.

Buktinya, Kau Ilhamku, Masih Aku Terasa dan Suratan Takdir masih lagi menjadi ingatan para peminat setia penyanyi ini.

Kini setelah 20 tahun bergelumang sebagai anak seni, semangat dan iltizam Man Bai atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Osman, 44, masih lagi utuh seperti mana di awal kemunculannya di pentas hiburan tanah air.

“Jiwa saya sentiasa membara untuk terus berkarya kerana dengan berkarya, ia memberikan kepuasan dalam diri saya selain dapat memberikan sesuatu kepada industri hiburan tanah air.

“Bagi saya, sebagai anak seni, saya harus meninggalkan sesuatu kepada masyarakat sebelum dijemput oleh yang maha kuasa.

“Sebab itulah, saya tekad untuk terus menghasilkan sesuatu yang boleh dijadikan legasi pada masa hadapan,” ujar Man Bai ketika ditemui pada majlis pradengar album terbarunya, Inspirasi baru-baru ini.

Tambah Man Bai, jiwa seni sememangnya sudah sebati dalam dirinya dan dia akan terus berjuang untuk memberikan yang terbaik kepada industri.

Baginya, selain daripada kekentalan jiwa, peminat juga merupakan nadi yang membuatkannya tegar untuk terus mengabadikan diri sebagai penyanyi yang tidak lapuk di telan zaman.

“Saya tidak sangka Kau Ilhamku yang diterbitkan 10 tahun dahulu masih lagi diingati dan terus segar dalam hati pendengar dan peminat.

“Jadi, sebagai membalas kesetiaan peminat, saya rasa sudah sampai masanya untuk saya melahirkan sesuatu yang baru,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu lagi.

Bercerita tentang buah tangan terbarunya yang akan berada di pasaran penghujung bulan ini, Man Bai akui, dia tidak dapat melenyapkan rasa takut dan risau yang sering singgah di hatinya.

Jelasnya, perasaan itu datang bertandang di hati lelakinya setiap kali memikirkan, apakah dirinya dan kehadirannya masih lagi relevan dan di minati.

“Saya pada mulanya takut apabila memikirkan, masih adakah lagi peminat yang ingin mendengar suara saya ini? Maklumlah, sekarang ini ramai pendatang baru yang jauh lebih muda usianya berbanding saya.

“Namun, pihak Sony menyakinkan saya dan sudi pula untuk menerbitkan album baru maka saya cekalkan hati untuk melangkah menemui peminat.

“Lagipun, sebelum ini ramai juga peminat yang bertanya, bilakah saya mahu menghasilkan album baru?

“Dari situ, sedikit sebanyak keyakinan saya memuncak. Nah! Album ini adalah sebagai hadiah buat mereka,” luah Man Bai yang buat pertama kalinya berkolaborasi dengan Sony Music Entertainment.

Jelas bapa kepada Imran Fitri, 14, Luqman Hakim, 12, dan Sarah Aishah,10, itu lagi, kehadiran album terbarunya itu juga merupakan percaturan untuk menarik semula perhatian peminat kepada dirinya.

Baginya, jiwa dan konsep yang dibawa melalui album yang mengandungi lapan lagu itu, mempunyai kelainan.

“Apa yang saya nyatakan, hanya boleh dibuktikan oleh peminat yang mendengar lagu-lagu saya nanti.

“Biar peminat yang menilai dan bukan sahaja album terbaru saya itu sebagai pengubat rindu mereka terhadap penyepian saya selama ini.

“Sebaliknya, rindu saya pada bidang nyanyian juga terubat melalui album ini. Rasanya sudah sampai masanya untuk saya kembali memberikan suara ini kepada peminat,” katanya.

Melalui album itu juga, buat pertama kalinya, Man Bai berduet bersama penyanyi tersohor tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim menerusi lagu Kita Cinta.

Selain itu, lagu Kau Ilhamku dan Masih Aku Terasa turut diberikan nafas baru untuk dimuatkan dalam album berkenaan.

Bagi peminat yang membeli album original Inspirasi, mereka layak menyertai peraduan Inspirasi Man Bai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: