QUEENS - Seorang bekas eksekutif kumpulan perbankan Citigroup, Gary Foster didapati menggelapkan wang sebanyak AS$19.5 juta (RM59.4 juta) dalam tempoh 18 bulan dan menggunakan wang itu untuk membeli sebuah banglo berharga AS$3 juta (RM9.1 juta), membayar AS$1.93 juta (RM5.8 juta) untuk sebuah apartmen dan beberapa kereta mewah.
Sebuah akhbar melaporkan Foster, 35, turut didakwa menggaji seorang pemandu untuk memandu kereta Maserati GranTurismo dan sebuah BMW 550i miliknya selain telah menempah sebuah kereta Ferrari apabila dia ditahan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Ahad lalu.
Sumber-sumber berkata, Foster ditahan semasa dia turun dari sebuah pesawat dari Bangkok di Lapangan Terbang Kennedy, New York
"Defendan menggunakan pengetahuannya tentang operasi Citigroup untuk menggelapkan wang dari dalam bank," kata seorang pendakwa raya, Loretta Lynch semasa mengumumkan dakwaan menipu terhadap Foster yang berkhidmat dengan Citigroup selama 12 tahun sebelum dia meletak jawatan pada Januari lalu.
Foster memperoleh pendapatan AS$100,000 (RM304,700) setahun sebagai pembantu naib presiden di sebuah pejabat perbendaharaan dan kewangan Citigroup di sini yang menguruskan pelaburan bank tersebut.
Pihak berkuasa bagaimanapun mendakwa mulai Mei 2009 hingga Disember tahun lalu, Foster memindahkan AS$19.2 juta daripada beberapa akaun dalaman Citigroup ke dalam akaun peribadinya di bank Chase.
Dia didakwa cuba menutup penipuan itu dengan mewujudkan kontrak pelaburan palsu supaya pemindahan wang itu dilihat tidak melanggar peraturan syarikat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: