Tuesday, June 28, 2011

Mohd. Hasbullah lali dengan cabaran


MENGUMPUL koleksi tag nama sepanjang bertugas sebagai pegawai pengiring.


BIARPUN terpaksa menempuh cuaca buruk dan panas terik mentari ketika bertugas, ia tidak pernah mematahkan semangat pegawai gerakan trafik ini untuk terus menjalankan tugasnya.

Walaupun ada segelintir pihak memandang remeh tugas seorang pegawai gerakan trafik, tetapi sebenarnya amanah yang digalas ini memerlukan semangat yang kental bagi berhadapan dengan sebarang situasi genting.

Bagi Pegawai Gerakan Trafik di Cawangan Trafik Balai Polis Tun HS Lee, Kuala Lumpur, Inspektor Mohd. Hasbullah Saidin, 32, walaupun terpaksa mengorbankan masa dan tenaga dengan segala cabaran itu namun demi menjalankan tugas yang telah diamanahkan beliau rela berkorban.

“Tuntutan kerja adakalanya datang tidak kira masa, dan saya perlu bersiap sedia sentiasa bagi memastikan tugasan berjalan dengan lancar, malah pejabat ini ibarat rumah kedua bagi saya,” katanya kepada Gaya Polis, baru-baru ini.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini juga tidak pernah menyangka bahawa satu hari nanti beliau bakal berkecimpung dalam bidang kepolisan, lantaran tidak pernah menanam impian untuk berkhidmat sebagai seorang pegawai polis.

Namun pada tahun 2004, beliau telah mengambil keputusan untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak selama setahun.

Sebaik sahaja tamat latihan di Pulapol, beliau ditugaskan menjadi pegawai penyiasat di cawangan trafik selama tiga tahun sebelum diserap ke Unit Gerakan Khas Trafik Kuala Lumpur, pada tahun 2008 sehingga sekarang.

Bidang Tugas

Baginya, setiap tugasan yang dilakukan sentiasa mempunyai risiko yang tersendiri, tetapi kegigihan serta keberanian harus disemai bagi menghadapi segala rintangan yang mendatang.

“Adakalanya semasa menjalankan tugas, kami sebagai pegawai pengiring atau lebih dikenali sebagai `escort’, terdedah dengan risiko kemalangan, apatah lagi jika berhadapan dengan cuaca tidak baik.

“Namun atas rasa bertanggungjawab terhadap tugasan yang diberikan, segala risiko dan rintangan akan cuba saya hadapi dengan sebaik mungkin,” jelasnya.

Sebagai seorang pegawai gerakan trafik, beliau bertanggungjawab memastikan kawalan keselamatan bagi setiap acara yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur seperti Persidangan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Citrawana berada dalam keadaan terkawal.

Selain itu, beliau juga harus memastikan percaturan masa berjalan seperti yang dijadualkan selain memastikan kawalan keselamatan dan penugasan anggota diatur sejajar dengan keperluan sesebuah acara.

Menurut Mohd. Hasbullah lagi, bidang tugasnya bukan sekadar menjadi pegawai yang mengiringi golongan-golongan VIP semata-mata, tetapi turut sama turun padang mengikuti Ops Padam apabila berlaku sebarang rusuhan.

“Pengalaman paling berharga sepanjang berkhidmat dalam PDRM ialah apabila diberi kepercayaan untuk menjadi pegawai pengiring kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton pada tahun 2008 sempena lawatan dua hari beliau ke Malaysia,” katanya.

Le Tour di Langkawi

Sepanjang acara Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berlangsung awal tahun ini, Mohd. Hasbullah serta tiga rakan sejawatan di PDRM telah diberi penghormatan oleh pihak penganjur untuk merasmikan upacara perasmian lintas masuk pertandingan tersebut.

Beliau telah berkhidmat sebagai pegawai keselamatan kejohanan LTdL ini selama tiga tahun berturut-turut, dan sepanjang tempoh tersebut, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi terutamanya membabitkan keadaan cuaca yang adakalanya buruk.

Menurutnya, kesemua anggota PDRM yang dipilih dari setiap cawangan, bertanggungjawab memastikan pertandingan bertaraf dunia yang disertai oleh 23 pasukan dari pelbagai negara itu, berjalan dengar lancar.

“Sebagai contoh, saya selaku pegawai pengiring serta rakan-rakan setugas harus memastikan jalan raya yang menjadi laluan para peserta berada dalam keadaan selamat dan tiada kenderaan melalui kawasan tersebut.

“Sekiranya berlaku situasi yang tidak diingini seperti hujan lebat dan banjir, kejohanan tersebut akan diteruskan namun di sini kami sebagai pegawai yang bertugas berperanan untuk mengubah laluan peserta ke laluan yang lebih selamat,” jelasnya.

Menurutnya lagi, semasa menjalankan tugas, konsep yang menjadi pegangan adalah `first in, last out’ di mana para petugas akan keluar lebih awal ke lokasi seperti yang telah ditetapkan, dan juga merupakan individu terakhir meninggalkan tapak acara tersebut.

Tambah beliau, anggota PDRM yang terlibat dalam acara yang berprestij ini, mendapat pujian daripada pihak penganjur pertandingan tersebut lantaran prestasi cemerlang yang ditonjolkan semasa menjalankan tugas mereka.

Khidmat bakti beliau ibarat tiada noktahnya, selagi ada kudrat yang dikurniakan tuhan, serta berbekalkan semangat dan keberanian yang tinggi, tanggungjawab yang diamanahkan oleh negara akan terus digalas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: