Pembekal dan pemborong pakaian sedia dipakai keluaran My Couture Sdn Bhd (My Couture) merancang meneroka lebih banyak segmen pakaian dalam bagi mengembangkan sayap perniagaan pada masa hadapan.
Pengarah kreatifnya, Hanim Sahrom berkata, syarikat berhasrat mengeluarkan pakaian dalam dan aksesori tambahan berjenama sendiri.
“Segmen ini bakal menjadi cabang bisnes kedua bergerak seiringan koleksi lain seperti baju kurung tradisional, jubah, kebaya, batik, pareo, kurta, hijab dan skarf,” katanya yang membuka butik pertama di Seksyen 23, Shah Alam pada awal tahun ini.
Menurutnya, pasaran pakaian dalam itu mempunyai potensi dan pengalaman diperoleh ketika terlibat dengan dunia pemasaran pakaian dalam di sebuah syarikat jualan langsung.
“Idea untuk berniaga sendiri timbul setelah lama bekerja, saya yakin perusahaan ini mempunyai masa depan cerah dengan sokongan penuh daripada rakan kongsi, iaitu dramatis terkenal, Rozita Che Wan,” katanya.
Beliau berkata, RM100,000 adalah pelaburan untuk membuka butik.
“Sebelum membangunkan laman web dan berurus niaga dalam talian, kami telah menerima tempahan secara runcit daripada luar negara seperti United Kingdom, Timur Tengah dan Jerman,” katanya bersedia menerima tempahan secara terus di laman sesawangnya yang telah dilawati lebih 49,000 orang sejak dilancarkan Mei lalu.
Setiap rekaan dan koleksi dipasarkan adalah eksklusif kerana diilhamkan sendiri syarikat diinspirasi melalui kehendak wanita yang ingin tampil anggun setiap masa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: