|
|
BAIK dari aspek susunan muzik, lagu mahupun melodi yang dipertaruhkan, Estranged tampil dengan satu kelainan demi memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai kumpulan indie popular tempatan.
Usaha itu perlu dilaksanakan selepas mereka seolah-olah terpinggir biarpun pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu Ke-22 (AJL22) menerusi lagu hit mereka, Itu Kamu.
Entah di mana silapnya, walaupun lagu mereka, Yang Pernah dan Aurora meletup di stesen radio, namun kumpulan ini seolah-olah ghaib dan menyepi selama dua tahun kebelakangan ini.
Bukanlah keterlaluan jika dikatakan, bisa Estranged semakin hilang dan ingatan peminat terhadap kumpulan yang dianggotai oleh empat anak muda ini juga menjadi semakin pudar.
Nasib Estranged yang tenggelam timbul itu, dibicarakan oleh Richael L. Gimbang (Rich), Nor Hanafi Noor Hadi (Hanafi), Azwin Andy Malik (Andy) dan Solihuddin Hormat (Din) ketika bertemu dengan Hits baru-baru ini.
“Menyepi bukan bererti berundur tetapi diam buat sementara daripada hiruk pikuk industri hiburan tanah air.
“Maka itulah, sebelum AJL23, kami sepakat untuk bercuti daripada mengadakan persembahan namun dalam masa ‘percutian’ itu, kami mencari formula baru untuk tampil dengan produk yang boleh dibanggakan,” kata Din selaku pemain gitar utama kumpulan itu.
Menurut Din, jika ada yang beranggapan kumpulannya itu sudah berkubur, lebih baik dibuang jauh-jauh prasangka tersebut.
Tegasnya, Estranged tetap kukuh dan kini bersedia untuk memberi saingan kepada mana-mana kumpulan yang sedang menikmati kegemilangan dalam industri muzik kini.
“Kami sibuk mengumpul material terbaik untuk disajikan kepada peminat kerana sedar, peminat merindui lagu-lagu hebat daripada kami.
“Sekarang, kami tampil dengan single terbaru, Pengganti yang telah diputarkan di stesen-stesen radio sejak dua bulan lalu,” ujarnya.
Vokalis Estranged, Rich pula memberitahu, tempoh rehat selama dua tahun digunakannya untuk mendampingi keluarganya.
“Sama seperti insan lain, kami juga perlu berdampingan dengan keluarga yang terpaksa berkorban kerana kesibukan kami.
“Bayangkan, sejak awal kami bergerak aktif di pentas seni, setiap masa dipenuhi dengan jadual kerja dan aktiviti seni sehingga ada kalanya kami terlalu penat untuk meluangkan masa dengan keluarga,” katanya.
Rich bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat (AF4) telah mendirikan rumah tangga dengan Velvet Lawrence Aduk, finalis AF4. Perkahwinan selama dua tahun itu dikurniakan seorang cahaya mata, Joshua Richael Gimbang, setahun.
Dalam pada itu, Andy yang sebelum ini banyak mewarnai iklan komersial tempatan berkata, masanya banyak dihabiskan untuk penggambaran komersial yang menuntut komitmen dan masa.
Justeru, katanya, apabila tumpuan untuk menghasilkan lagu berkualiti, fokusnya tidak boleh berbelah bahagi.
“Biarpun kami tidak serancak dulu, sekurang-kurangnya single Masa yang dimuatkan dalam album Remain Unknown tetap mendapat tempat di stesen-stesen radio,” katanya selaku pemain drum Estranged.
Bagi Hanafi pula, selaku individu yang banyak menyumbangkan idea terhadap susunan melodi single terbaru Estranged, Pengganti berharap, karya tersebut mampu melonjakkan kembali nama kumpulannya di kaca mata peminat.
“Saya percaya, Pengganti mampu memenuhi cita rasa peminat kerana ia masih mengekalkan genre alternatif rock moden.
“Bezanya, elemen progresif pada susunan melodi dan eksperimen di beberapa plot muzik disuntik untuk mewujudkan kesegaran terhadap lagu itu,” jelasnya yang memberitahu, album penuh Estranged yang ketiga dijangka berada di pasaran selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: