GEORGE TOWN - Syarikat pengangkutan awam Rapid Penang Sdn. Bhd. (RapidPenang) semalam memperkenalkan sebuah bas khas berlatar belakang wajah Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Dekorasi dalam bas yang digunakan bagi laluan dari Komtar ke Batu Feringghi itu pula dihias dengan poster filem-filem lakonan seniman tersebut seperti Sarjan Hassan, Anakku Sazali, Penarik Becha, Ibu Mertua Ku dan Bujang Lapok.
Pengurus Kanan Komunikasi Kreatif RapidPenang, Melissa Sandhu berkata, ia merupakan penghargaan syarikat berkenaan dalam mengabadikan ingatan kepada seniman agung kelahiran Pulau Mutiara itu.
"Ia juga pendekatan kreatif RapidPenang bagi mempromosi Pertandingan Nyanyian Lagu Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee anjuran Paradise Sandy Beach Resort pada bulan September ini.
"Pusingan awal pertandingan bermula Julai ini dengan kemuncaknya pada 17 September dan ia akan diadili seniman veteran antaranya Tan Sri Jins Shamsuddin dan Datuk Aziz Sattar," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: