IA bagaikan sebuah jalan cerita filem animasi Disney apabila seekor penguin spesies emperor terkandas di pulau New Zealand baru-baru ini sehingga mengakibatkan ia menjadi perhatian pengunjung pulau berkenaan.
Spesies terbesar penguin yang rindukan kampung halamannya itu telah melalui perjalanan penuh berliku sejauh 3,219 kilometer dari Antartik sebelum hilang arah dan terkandas di sebuah pantai di New Zealand.
Lebih menyedihkan, ia telah tersalah anggap pasir memutih di pulau berkenaan adalah salji dan memakannya sehingga memudaratkan dirinya.
Berikutan itu, pegawai kehidupan liar terpaksa mengambil langkah drastik dengan membawa penguin malang itu ke Zoo Wellington untuk menjalani pembedahan mengeluarkan pasir dan ranting kayu di tekaknya.
Penguin emperor yang terkandas itu kelihatan sihat apabila menjejakkan kaki di Pulau Peka Peka berdekatan kepulauan utara New Zealand.
Bahkan, kemunculan penguin tersebut merupakan kali pertama dicatatkan di negara yang terkenal dengan jolokan kiwi itu sejak 44 tahun lalu.
Bagaimanapun, saban hari ia menjadi semakin lemah dan kadangkala terjatuh ke permukaan pasir sehingga menimbulkan kebimbangan penguin tersebut akan mati jika tidak diberi perhatian rapi.
“Ia tidak akan dapat hidup di pantai ini jika kami meninggalkannya begitu sahaja,” kata Pengurus Program Jabatan Pemuliharaan New Zealand, Peter Simpson.
Kebiasaannya, penguin akan makan salji untuk penghidratan di Antartik. Suhu juga agak tinggi sehingga mencecah 50 darjah jauh berbeza berbanding suhu Antartik yang biasa dialami penguin berkenaan.
Simpson berkata, burung berkenaan mengalami hidrasi dan kepenatan akibat cuaca panas.
“Hari ini ia tidak menunjukkan banyak pergerakan mungkin akibat terlalu banyak makan pasir dan keadaannya juga tidak begitu baik,” kata pakar penguin dari Universiti Massey, John Cockram.
Pengurus Zoo Sains Veterinar, Lisa Argilla berkata, tekak burung berkenaan telah dilalukan dengan air untuk menghilangkan cebisan-cebisan kayu dan pasir tetapi, ia kelihatan masih tersumbat dan pembedahan telah dijadualkan.
“Saya berharap ia hanya kayu hanyut yang boleh dicapai dan dikeluarkan dengan segera,” katanya kepada akhbar Dominion Post.
Penguin yang dianggarkan berusia 10 bulan itu mungkin lahir ketika musim sejuk dan telah mencari sotong ataupun kril sebelum sesat. Pakar juga masih belum menentukan jantina penguin malang itu.
“Ia merupakan penguin yang masih kecil, berenang dan keluar mencari makanan. Ia telah tersilap langkah sehingga tersesat,” kata Penolong Kurator Seaworld, San Diego, Amerika Syarikat (AS), Lauren DuBois.
Katanya lagi, selepas enam bulan menetas, anak spesies penguin emperor akan menuju ke lautan dan menghabiskan masa selama empat tahun di dalam air tanpa pulang ke daratan.
“Burung-burung ini akan mengembara agak jauh,” katanya dan ia tidak ganjil apabila ia berada di perairan berdekatan New Zealand.
|
|
“Apa yang ganjil mengenai penguin ini adalah ia telah pergi ke darat dan menyebabkan menjadi perhatian ramai. Apa sahaja yang melebihi 32 darjah Celsius akan menyebabkan tekanan kepada penguin ini,” ujarnya lagi.
Masa depan burung tersesat tersebut masih menjadi tanda tanya kerana New Zealand tidak mempunyai zoo yang mempunyai kelengkapan penjagaan penguin emperor untuk jangka masa panjang.
Spesies penguin itu boleh membesar sehingga mencapai ketinggian 122 sentimeter dan berat 34 kilogram.
DuBois berkata, Seaworld sentiasa bersedia menghulurkan bantuan jika diminta berbuat demikian untuk menyelamatkan penguin berkenaan.
Penguin tersebut akan beransur pulih secara berperingkat dan akan dilepaskan semula ke dalam lautan.
Selain daripada itu, perhatian perlu diberikan mengenai jangkitan. Penguin tersebut mungkin dijangkiti penyakit ketika berenang dalam cuaca panas.
Jurucakap Zoo Wellington, Kate Baker, pula memberitahu, burung yang sakit biasanya memerlukan proses pemulihan kira-kira satu atau dua bulan sebelum dilepaskan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: