Tuesday, June 28, 2011

Siapa layak digelar Imam Muda Unggul?


Mudir (tengah), Hassan Mahmood Al-Hafiz yang ditemani Mursyid mengumumkan finalis pada minggu kesembilan.


JUMAAT ini, dari Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur, penonton rancangan Imam Muda musim kedua (IM2) bakal menyaksikan siapakah yang akan dipilih untuk gelaran Imam Muda Unggul kali ini.

Persaingan di antara Mohd. Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26, dan Nazrul Izwan Zolkiflee, 26, hanya akan diketahui sama ada salah seorang daripada mereka ini akan mengikut jejak langkah Asyraf, juara Imam Muda musim pertama lalu.

Persoalan itu akan terjawab apabila para mudir dan mursyid membuat penilaian ke atas tugasan yang dilakukan oleh mereka selepas diumumkan sebagai peserta peringkat akhir pada minggu kesembilan.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, kedua-dua finalis akan diberi tugasan tanpa bimbingan daripada pihak Astro dan hanya akan dibantu oleh empat imam muda lain.

"Tugasan mereka bermula dalam tempoh lima hari sahaja.

"Terpulanglah sama ada mereka (finalis) hendak melakukan kerja gotong royong membersihkan kubur atau apa sahaja yang dirasakan terbaik.

“Tugasan ini dinilai berdasarkan pelbagai aspek seperti komitmen dengan orang sekeliling, corak kepimpinan dan cara berinteraksi dengan orang ramai," katanya.

Jelas Izelan, juara IM2 akan membawa pulang hadiah bernilai RM350,000 termasuk biasiswa penuh (pakej platinum) selama empat tahun bagi melanjutkan pengajian di Universiti Al-Madinah tajaan Yayasan Al-Madinah.

Selain itu, katanya, juara juga akan mendapat sebuah kereta tajaan Proton Edar, wang tunai berjumlah RM30,000 sumbangan Astro dan pakej haji dan umrah tajaan Salamfon.

“Banyak lagi hadiah sampingan untuk diberikan kepada juara IM2 termasuk Sijil Pentauliahan oleh Mufti Wilayah Persekutuan dan trofi sumbangan Astro.

"Tempat kedua pula akan mendapat biasiswa penuh (pakej emas) di Universiti Al-Madinah tajaan Yayasan Al-Madinah, wang tunai RM20,000, pakej perabot tajaan Jatimas serta pakej umrah tajaan Salamfon.

"Hadiah lain untuk naib johan adalah pakej percutian, Macbook Apple, Ipad Apple, telefon bimbit, Sijil Pentauliahan oleh Mufti Wilayah Persekutuan dan trofi," jelasnya.

Bercakap tentang sambutan IM2, beliau gembira kerana sambutan yang diberikan lebih menggalakkan berbanding dengan musim pertama lalu.

Katanya, mungkin pada musim lalu, IM dilihat sebagai satu rancangan baru yang lebih kepada sebuah program pengenalan.

Bagaimanapun, katanya, apabila Astro tampil dengan IM, impak yang besar terhadap masyarakat, amnya dan penonton, khasnya, dapat dilihat.

"Maka itulah, bagi musim ini, golongan profesional turut terlibat dalam rancangan ini yang sekali gus, menunjukkan bahawa orang ramai sudah ada perspektif tersendiri tentang program ini.

"Selain itu, program ini juga membantu menguar-uarkan kepada orang ramai tentang tugas sebenar seorang imam yang bukan hanya terhad di masjid-masjid sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Mudir, Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz berkata, antara Hassan dan Nazrul, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri.

Terus terang beliau berkata, sekiranya diminta untuk memilih seorang untuk dinobatkan sebagai juara, ia merupakan satu keputusan yang sukar untuk dilakukannya.

Dari kacamata beliau, kedua-dua finalis itu mempunyai kebolehan tambahan berbanding dengan peserta lain iaitu Mohd. Fakhrurrazi Hussin, Ammar Wan Harun dan Mohd. Azlan Zulkarnain yang tersingkir pada minggu kesembilan.

"Selain boleh menyanyi (merujuk kepada Nazrul), mereka mampu menjawab soalan berat dengan mudah dan nampak ada kesungguhan dalam diri masing-masing sewaktu menjawab soalan yang diberikan.

"Kedua-dua mereka ada watak pendidik. Nazrul, guru besar dan Hassan pula, pensyarah. Jadi, cara mereka berhujah mudah sampai kepada audiens,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, walau apa pun, setiap peserta yang menyertai program IM layak menjadi imam kepada orang ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: