Wednesday, June 29, 2011

Julai bulan FMKL


NORLIZA Rofli (tiga dari kiri) bersama pihak penganjur dan artis yang akan terbabit menjayakan FMKL 2011 pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


FESTIVAL Muzik Kuala Lumpur (FMKL) anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) menerusi agensinya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bolehlah dianggap sebagai satu festival paling meriah diadakan di ibu negara setakat ini.

Kemeriahan itu bukan setakat berdasarkan pelbagai aktiviti seni yang dianjurkan sepanjang ia berlangsung selama hampir sebulan tetapi turut mencatatkan peningkatan jumlah pengunjung yang semakin meningkat setiap tahun termasuklah dari luar negara.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, sewaktu FMKL mula dianjurkan pada tahun 2005 ramai yang memandang sinis penganjuran festival itu yang bertujuan mengangkat martabat budaya dan kesenian masyarakat di negara ini.

"Sewaktu FMKL dianjurkan pada 2005 festival ini hanya mencatat jumlah pengunjung sekitar 30,000 orang sahaja. Bagaimanapun bilangan itu meningkat setiap tahun di mana pada tahun lalu seramai 603,318 pengunjung termasuk dari luar negara menyaksikan festival ini.

"Malah, tahun ini jumlahnya dijangka meningkat dan kami sasarkan 700,000 pengunjung akan menonton aktiviti-aktiviti kesenian yang dipersembahkan sempena FMKL 2011," katanya sewaktu ditemui selepas pelancaran festival itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

FMKL merupakan festival terbesar pernah diadakan di ibu negara yang membabitkan aktiviti-aktiviti seni persembahan muzik, visual, tampak, permainan tradisi dan rekreasi yang turut membabitkan agensi kerajaan lain seperti Istana Budaya dan syarikat swasta.

Festival yang akan berlangsung sepanjang Julai ini menampilkan siri-siri konsert seperti Konsert Orkestra Tradisional Malaysia All Star yang akan diadakan pada 1 Julai ini di Istana Budaya yang akan dijayakan antaranya oleh Datuk Khadijah Ibrahim, Dayang Nurfaizah dan Aizat.

Jelas Norliza, festival yang masuk tahun ketujuh itu bukan setakat mampu menyemarakkan bidang seni tanah air tetapi pada masa sama ia juga mampu menarik ramai pelancong asing yang tentunya mahu melihat lebih dekat kepelbagaian budaya di negara ini.

"Teras seni yang ditonjolkan pada FMKL 2011 adalah tentang seni budaya tempatan termasuklah dari Sabah dan Sarawak. Tetapi pada masa sama kami juga turut menyediakan konsert yang mewakili citarasa muzik generasi muda dengan genre lebih moden.

"Contohnya menerusi pembabitan kumpulan seperti Azlan & The Typewritter 2Crank.com dan Gitar Gempaq Duo yang menambahkan lagi kepelbagaian muzik yang secara tidak langsung menggabungkan antara seni muzik tradisional dan kontemporari," ujarnya.

Sebarang pertanyaan berhubung kesemua aktiviti dan jadual seni-seni persembahan sepanjang FMKL 2011 sama ada secara percuma atau berbayar yang kebanyakannya diadakan di Istana Budaya sila layari laman sesawang www.jkkn.gov.my atau talian 03-41478600.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: