SHAH ALAM: Pelawak Nabil Ahmad, 28, merancang untuk membuka perniagaan menjual kasut wanita tidak lama lagi menggunakan sebahagian wang kemenangannya pada program Maharaja Lawak, Jumaat lalu.
Menurut Nabil yang mendapat tempat ketiga pada pertandingan tersebut, wang sebanyak RM150,000 yang diperoleh tidak akan disia-siakan begitu sahaja dan ia akan menjadi sebagai modal permulaan perniagaan tersebut.
"Saya dah lama ingin berniaga kasut wanita kerana kasut merupakan barangan wanita yang paling banyak dibeli dan mereka sentiasa mengikut trend masa kini.
"Kebetulan pula, saya dapat tempat ketiga dalam Maharaja lawak, wang tersebut saya gunakan sebagai modal," katanya.
Tambah Nabil, dia akan membeli barangan kasut sarung itu di kedai borong di Bangkok, Thailand.
Selain itu, pelakon ini juga sedang merancang untuk menunaikan umrah bersama ibunya dalam masa terdekat ini menggunakan wang kemenangan tersebut.
Dalam pada itu, bekas teman lelaki pelakon Irma Hasmie ini juga bersyukur kerana sejak menyertai Mahajara Lawak, dia menerima banyak tawaran lakonan.
"Sejak dilanda pelbagai kontroversi, saya akui, tawaran kerja saya semakin kurang.
"Bagaimanapun, menyertai Maharaja Lawak telah menaikkan nama saya semula sekali gus pelbagai jenis tawaran lakonan mula mendatang.
"Kerana pertandingan ini juga saya bersyukur dengan apa yang diterima dan akan ke umrah bersama ibu tidak lama lagi," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: