Saturday, June 11, 2011

Jangan terpedaya dengan jenama


Walaupun sedikit kandungannya, arak tetap haram bagi orang Islam. – Gambar hiasan


ISLAM mengharamkan arak atau khamar sejak sekian lama. Sebabnya, ia lebih mendatangkan mudarat kepada manusia berbanding sedikit kebaikan yang diperolehi daripadanya.

Bagaimanapun, usaha dan dakyah untuk ‘mengajak’ umat Islam meneguk ‘air kencing syaitan’ itu tidak pernah padam dalam diari golongan kuffar.

Pelbagai strategi digunakan. Terkini, muncul istilah ‘bir halal’ yang bukan sahaja namanya sudah mengelirukan tetapi status kandungan alkoholnya adalah 0.05 peratus melebihi daripada kadar 0.01 peratus yang dibenarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Untuk itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 29 Mei lalu menasihati umat Islam agar tidak mengambil minuman tersebut yang didakwa halal oleh syarikat pengedarnya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sijil halal kepada pengeluar produk minuman ‘bir halal’ di negara ini.

Produk minuman berkenaan juga tidak menepati piawaian dan prosedur makanan halal mengikut Standard Halal Malaysia MS 1500:2009.

Difahamkan, kemasukan minuman-minuman tersebut dikesan sejak tahun 2009. Ia mendakwa ‘bir halal’ sekali gus mendorong sebilangan umat Islam mencubanya.

Menurut Kamus Dewan edisi keempat tahun 2007, arak adalah sejenis minuman yang mengandungi alkohol dan memabukkan, sejenis minuman keras.

Alkohol pula adalah cecair yang mudah terbakar dan memabukkan.

Sehubungan itu, penggunaan istilah ‘bir halal’ perlu dihentikan kerana ia mengelirukan masyarakat umum, tegas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abd. Kadir.

“Sebabnya, dalam kepala umat Islam, apabila disebut bir, ia adalah arak dan tidak halal. Jadi kenapa tiba-tiba boleh muncul ‘bir halal’.

“Dalam hal ini, kita berpegang kepada kaedah fiqh iaitu menolak kerosakan lebih diutamakan daripada mengambil manfaat,” katanya dalam pertemuan dengan Mega di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Abdul Halim mengingatkan umat Islam supaya tidak terperangkap dengan tipu daya musuh Islam termasuk dalam isu ‘bir halal’ ini.

Katanya, khamar atau arak itu adalah setiap yang memabukkan bersifat cecair. Ia asalnya adalah benda yang menggila dan berbuih selepas tempoh masa tertentu tanpa ditambah apa-apa bahan lain.

“Oleh itu, umat Islam perlu lebih sensitif dengan tipu muslihat musuh Islam termasuk dalam bab makan minum,” jelasnya.

Mengulas tentang dakwaan bahawa ‘bir halal’ itu mendapat sijil halal daripada negara Asia Barat, Abdul Halim berkata, negara itu mempunyai perbezaan dengan Malaysia.

Malah, katanya, di Malaysia pun berlaku perbezaan kerana hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri yang mempunyai mufti masing-masing.

“Sebab itu kita tak boleh endorse semua yang di luar negara untuk kita terima begitu sahaja,” tegas beliau.

Abdul Halim menambah, adalah menjadi tugas setiap Muslim menjaga diri masing-masing dalam bab halal haram makan dan minum.

Sebabnya, kata beliau, sijil halal dan definisi halal itu ditentukan oleh manusia dan ada yang tidak bertanggungjawab memalsukan sijil tersebut.

“Asasnya, kita sendiri kena pastikan dan perlu elak terlibat benda-benda syubhat. Kalau terdetik atau ragu-ragu halal atau haram sesuatu makanan atau minuman itu, maka pilihlah haram.

“Kita tidak rugi. Lagipun sikit sangat makanan dan minuman yang diharamkan oleh Islam berbanding yang halal dimakan,” katanya.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Yang halal adalah jelas dan yang haram adalah jelas. Di antara ke dua-duanya terdapat perkara syubhah yang tidak diketahui oleh ramai manusia. Sesiapa yang takut kepada syubhah, maka sesungguhnya terselamatlah agamanya dan maruahnya. Sesiapa yang terlibat dengan perkara syubhah, maka ia terjatuh kepada melakukan perkara yang haram... (riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: