Wednesday, June 29, 2011

Kekentalan Projek Pistol


KUMPULAN Projek Pistol mempromosikan album sulung, Stereo Amanda menerusi Jelajah Borneo.


KECANGGIHAN teknologi dan Internet walau pun dipandang secara positif namun ia memberi tekanan kepada artis tempatan untuk terus bertahan dalam industri hiburan tanah air.

Rata-rata, golongan pendengar muzik generasi hari ini lebih cenderung memuat turun lagu yang digemari berbanding mengeluarkan duit poket untuk membeli album seseorang penyanyi itu.

Senario yang berlaku membuatkan syarikat rakaman skeptikal untuk menerbitkan album baru penyanyi, sama ada penyanyi solo atau pun berkumpulan (grup).

Bagi kumpulan Projek Pistol yang dianggotai oleh Edrie Hashim (gitar), Zham atau nama sebenarnya, Kamarul Izham Ahmad Badri, (bass), Boy (Clifford Hugh Joseph, vokalis) dan Pa‘e (Mohamad Nasfa Mohamed Nasir, pemain drum), mereka tidak gentar untuk tampil dengan album sulung, Stereo Amanda sebagai tanda kelangsungan mereka di persada seni tanah air.

“Teknologi yang canggih juga merupakan risiko yang perlu dihadapi dalam dunia hiburan hari ini dan kita sedar, ia bukan hanya berlaku di negara kita tetapi juga di serata dunia.

“Namun dalam apa juga bidang, tidak boleh dinafikan risiko tetap ada. Cuma apa yang penting di sini, kita jangan cepat melatah.

“Sebaliknya, perlu berusaha mencari jalan terbaik untuk berhadapan dengan risiko supaya kesan yang tidak memihak kepada kita, dapat dikurangkan,” kata Projek Pistol secara beramai-ramai kerana mereka tidak melantik seorang jurucakap ketika ditemui Hits untuk sesi fotografi di Studio Utusan, baru-baru ini.

Tambah mereka, dalam meneruskan perjuangan seni, semangat yang ada perlu kental dan berpegang kepada prinsip iaitu tiada apa yang perlu dirisaukan.

Ini kerana, ujar mereka, penanda aras sesuatu kejayaan artis itu tidak terletak kepada jumlah jualan album.

Bagi mereka, andai kata jualan album kurang memuaskan, itu juga tidak bermakna kehadiran mereka dalam industri hiburan, tidak dihargai peminat.

“Suka atau tidak, kita perlu terima hakikat bahawa lagu yang dimuat turun oleh peminat adalah petanda bahawa lagu kita disukai.

“Mungkin tindakan memuat turun lagu kegemaran mereka boleh membuatkan hasil karya kita lebih dekat dengan peminat.

“Apa pun keadaan yang berlaku, peminat tetap kenal dan suka dengan lagu yang dihasilkan,” ujar mereka.

Sebulat suara, Projek Pistol berpendapat, penerimaan peminat merupakan penentu hala tuju seseorang penyanyi untuk kekal dalam industri hiburan.

Ini kerana, bagi mereka, peminat adalah tulang belakang untuk seseorang artis itu bertahan lama dalam karier mereka.

Jelajah Borneo

BERMULA hari ini, Projek Pistol mengadakan showcase Jelajah Borneo.

Jelas mereka, antara lokasi yang pilihan untuk menghiburkan peminat ialah Tawau (29 Jun), Kota Kinabalu (1 Julai), Kuching (2 Julai) dan Miri (6 Julai).

Showcase Projek Pistol dizahirkan setelah mendapat maklum balas daripada peminat menerusi laman sosial Facebook (FB).

“Mungkin agak pelik apabila showcase kami tidak dilakukan di Semenanjung seperti mana kelaziman yang sering dilakukan oleh penyanyi-penyanyi lain.

“Kami menghargai semua peminat namun apabila melalui FB, ramai peminat tegar kami datangnya dari sebelah sana (Sarawak) maka kami sepakat untuk memulakan siri jelajah persembahan kami di sana.

“Bagi peminat di Semenanjung yang ingin menyaksikan persembahan Projek Pistol, kami harap mereka bersabar.

“Insya-Allah sekiranya showcase di Sarawak mendapat sambutan hangat, kami akan cuba untuk mengadakan showcase di sini pula,” kata mereka yang popular dengan lagu Wanita Seluruh Dunia itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: