Wednesday, June 29, 2011

Tanam meranti di Tanarimba


HOI MING (kiri) menanam salah satu daripada 26 pokok meranti di Tanarimba.


SEKALI-SEKALA dapat mendekatkan diri dengan alam semula jadi tentu sekali dapat melahirkan perasaan mendamaikan di dalam jiwa.

Bagaimanapun, kehijauan alam semula jadi dunia yang menjadi khazanah berharga kini dihimpit pemanasan global yang mungkin satu hari nanti tidak dapat dinikmati oleh generasi masa hadapan.

Menyedari kepentingan itu, Dimension Data (Malaysia) Sdn. Bhd. menjalin kerjasama bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dalam menjejak alam semula jadi serta menanam 26 pokok meranti melalui program Go For Green di Tanarimba Janda Baik, Pahang baru-baru ini.

Pengarah Urusan Dimension Data, Chong Hoi Ming berkata, program berkenaan merupakan tanggungjawab sosial syarikat dalam memberi sumbangan terhadap pemuliharaan alam sekitar.

“Sudah menjadi sebahagian daripada budaya Dimension Data memulihara alam sekitar kerana kami terlibat secara langsung dalam teknologi hijau. Bagaimanapun, program ini diharap dapat memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar dalam kalangan pekerja.

“Kami juga berharap program yang diadakan ini dapat memberi kesan jangka panjang terhadap alam sekitar dan generasi akan datang untuk merasai kehijauan khazanah dunia ini,” katanya.

Program yang diadakan bersempena ulang tahun ke-26 syarikat itu melibatkan 103 peserta merangkumi pihak pengurusan, pekerja, pelanggan dan MNS.

Dimension Data turut menyerahkan sumbangan bernilai RM15,000 kepada Pengarah Eksekutif MNS, Clliford Clement untuk melaksanakan pelbagai aktiviti penyelidikan dan kajian mengenai pemuliharaan alam sekitar.

Dalam pada itu, Clifford menjelaskan, pokok meranti dipilih dalam program itu kerana keupayaan sebatang pokok tersebut mampu meresap dan memerangkap sehingga 25 kilogram karbon dioksida.


SEBANYAK 103 peserta menyertai program Go For Green di Tanarimba Janda Baik baru-baru ini.


“Justeru, ia dapat membantu dalam memulihara alam sekitar terutamanya sewaktu dunia berdepan dengan pemanasan global,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Lim Ju-Lian, 26, berkata, melalui program berkenaan dia memperoleh pengalaman baharu apabila dapat mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

“Rutin harian agak sibuk, apabila dapat bersama-sama menyertai program ini ia memberi kesempatan untuk mendekatkan lagi diri dengan alam semula jadi.

“Dalam pada itu, kita juga dapat mengenali dengan lebih rapat rakan sepejabat yang jarang ditemui kerana kesibukan tugas masing-masing,” kata Perunding Perkhidmatan Profesional Dimension Data itu.

Bagi Elmy Nasiruddin, 36, pula, program berkenaan dapat memberi pendedahan mengenai kepentingan ekosistem kepada manusia.

“Walaupun, sumbangan menanam pokok meranti kecil tetapi, ia dapat membantu dalam memulihara alam sekitar yang dilanda kepanasan global.

“Kita juga dapat meningkatkan pemahaman mengenai alam sekitar dan mengenali rakan-rakan pejabat dengan lebih dekat lagi apabila dapat bersama-sama menjejak alam di Tanarimba Janda Baik ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: