KUALA LUMPUR: Pelakon kacak Kamal Adli mengakui rasa berat hati nuntuk berlakon filem arahan Ahmad Idham Nadzri berjudul Gerimis Mengudang.
Kata Kamal, perasaan tersebut timbul kerana merasakan dia bakal memikul tanggungjawab untuk membawa filem tersebut ke negara jiran Indonesia.
"Entah kenapa hati saya sangat berat untuk berlakon filem itu. Mungkin perasaan terlalu takut kerana ini merupakan filem pertama saya yang akan ditayangkan di Indonesia.
"Saya dapat rasakan tekanan untuk buat yang terbaik dan juga bergandingan dengan pelakon popular Indonesia Olivia Jensen Lubis," katanya ketika ditemui pada sidang media Gerimis Mengundang.
Filem tersebut merupakan gabungan dua syarikat produksi tempatan, Excellent Pictures dan Erama.tv dengan kerjasama syarikat produksi prolifik dari Indonesia, Wana B Pictures.
Tambah Kamal, antara cabaran utama adalah dari segi bahasa pertuturan Olivia yang agak sukar untuk difahami.
"Saya sukar untuk memahami bahasa Indonesia yang dituturkan oleh Olivia kerana terlalu pekat, saya perlu dengar betul-betul untuk memahaminya.
"Namun dia seorang yang sangat mesra, kali pertama berjumpa dia seperti sudah lama kenal. Jadi mungkin tiada masalah untuk mencari keserasian," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang watak yang bakal dilakonkan, Kamal berkata dia memang watak Zamani yang merupakan seorang juruterbang helikopter.
Zamani akan bertemu Mikha lakonan Olivia gadis dari Jakarta. Dari seorang pemuda yang mempunyai ego yang tinggi, dia akhirnya jatuh cinta dengan Mikha.
Sementara itu, penerbit merangkap pengarah, Ahmad Idham berkata, filem ini merupakan percubaan untuk memasuki pasaran negara Indonesia.
"Ini adalah permulaan dan percubaan kami melakukan kolaborasi dengan syarikat dari negara Indonesia di mana kami mendapat khidmat mereka untuk menyediakan pelakon dan pemasaran.
"Oleh itu, dari segi pemilihan tajuk juga kita memilih tajuk lagu yang sememangnya popular di sana iaitu Gerimis Mengundang yang pernah menjadi fenomena di sana.
"Kita juga akan menggunakan khidmat komposer Yovies & Nuno untuk mengubah kembali lagu tersebut dan mengubah lagu tema untuk filem ini," katanya.
Filem tersebut menjalani penggambaran di Sabah, Kuala Lumpur dan Jakarta bermula 28 Jun ini dan telah mendapat kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah.
Filem yang memaparkan naluri cinta insan ini akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Indonesia pada 2012.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: