SUASANA hujung minggu lalu di Stesen Kereta Api Ipoh yang menyimpan sejarah pembinaan berusia 76 tahun itu sangat berbeza daripada hari-hari biasa.
Dalam kesibukan penumpang menunggu ketibaan gerabak kereta api yang akan membawa mereka ke destinasi pilihan, di siar kaki stesen, sekumpulan sukarelawan sedang giat menarik perhatian khalayak.
Berlatarbelakangkan seni bina kolonial, celoteh deejay bertugas yang diselang-seli dengan dendangan muzik berjaya mencuri perhatian orang ramai yang rata-ratanya sibuk dengan urusan masing-masing.
Berdekatan kanopi yang menempatkan deejay bertugas, pelbagai pakaian terpakai digantung dan ada juga yang ditempatkan di dalam kolam mandi plastik untuk kanak-kanak yang diubah fungsi menjadi ruang longgokan.
Selain itu, barang-barang terpakai lain seperti buku, pinggan-mangkuk malah tudung berwarna-warni turut menjadi pilihan kepada mereka yang berminat untuk membeli.
Pakaian yang masih berada dalam keadaan elok itu dijual pada harga serendah RM2 manakala buku-buku termasuk hasil karya penulis terkenal boleh dibeli pada harga RM5 sahaja.
Bonanza Amal
Keadaan meriah itu adalah sebahagian daripada usaha Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (IRM) dalam menganjurkan program Bonanza Amal Barangan Terpakai 1Malaysia dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Semua barang terpakai yang dijual semula itu merupakan hasil sumbangan orang ramai. Semua aktiviti pengumpulan dan derma telah diadakan selama tiga minggu di stesen-stesen komuter.
Kemudian, barang-barang tersebut disaring oleh para sukarelawan bagi memastikan hanya barangan yang masih dalam keadaan baik dijual.
Program jualan amal itu bertujuan untuk mencari dana bagi membantu penduduk Malaysia yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama.
Menurut Presiden IRM, Zawahir Abdullah, kutipan daripada jualan yang dibuat di Ipoh itu nanti akan disalur kepada keluarga miskin yang telah dikenal pasti di Bagan Serai pada 9 Julai ini.
“Seramai 200 orang yang telah terpilih terdiri daripada ibu tunggal, warga emas yang miskin, OKU (orang kelainan upaya) dan sumbangan berbentuk barang-barang makanan.
|
|
Bagi memastikan bantuan disalur kepada pihak yang benar-benar layak, pihak IRM mendapat senarai nama-nama individu yang dikategorikan miskin dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Dengan senarai yang ada, sukarelawan IRM akan melakukan pemeriksaan dan meninjau keadaan dan rumah individu yang berada di dalam senarai bagi melihat keperluan mereka.
“Dari situ, kami akan menyaring orang yang berkelayakan untuk menerima bantuan,” ujar Zawahir ketika sidang akhbar Bonanza Amal di Bilik VIP Stesen Kereta Api Ipoh.
Sasar
Bagi tahun ini, IRM menyasarkan jumlah dana yang terkumpul sebanyak RM10,000 dan bagi program Bonanza Amal di Ipoh sahaja mereka berharap dapat mengumpulkan hasil dana sejumlah RM3,000,
Jualan amal Bonanza 1Malaysia di Ipoh juga turut dihadiri oleh Pengerusi IRM cawangan Perak, Ahmad Najib Ahmad dan Pengurus Pemasaran KTM Intercity, Mohd. Noordin Kimi serta kakitangan KTMB dan sukarelawan IRM.
Sebagai rakan kerjasama, KTMB sentiasa peka dalam membantu golongan yang memerlukan dengan menghulurkan bantuan seperti menyediakan tempat acara jualan amal dijalankan.
Menurut Noordin, KTMB turut mengadakan sebuah tabung yang dipanggil charity-drive dengan tujuan mengutip derma di dalam gerabak sepanjang perjalanan kereta api.
“Wang derma itu nanti akan diserahkan kepada IRM untuk diagih-agih kepada rakyat Malaysia yang memerlukan,” tambah Noordin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: