Wednesday, June 29, 2011

Daftar karya untuk perlindungan


ARTIS perlu mendaftarkan logo, nama atau syarikat mereka untuk dilindungi supaya ia tidak ditiru oleh pihak lain. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Artis-artis yang berkarya digalak mendaftar hasil kerja mereka dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) agar karya mereka dilindungi.

Timbalan Ketua Pengarah (Harta Industri) MyIPO, Shamsiah Kamaruddin berkata, langkah tersebut penting untuk mengelak karya mereka digunakan oleh orang lain.

“Dalam industri kreatif, artis boleh mendaftarkan logo, nama atau syarikat mereka untuk dilindungi supaya ia tidak ditiru pihak lain.

“Apabila telah didaftarkan di bawah Akta Cap Dagangan 1976 dan Akta Paten 1983, jika berlaku sebarang penciplakan, artis boleh menuntut hak mereka melalui saluran undang-undang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO yang bakal diadakan 5 Julai ini di DoubleTree by Hilton di sini akan menampilkan barisan artis dan karyawan yang akan membincangkan masalah dalam industri seni bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Mengulas lanjut, Shamsiah berkata, acara itu perlu dijadikan tempat golongan artis mendapatkan maklumat lengkap mengenai hak mereka berkaitan cap dagangan.

“Diharap majlis ini dapat memberi kesedaran kepada golongan artis untuk mendaftarkan hasil karya mereka melalui cap dagangan agar kebajikan mereka lebih terjamin.

“Sebagai contoh, siri animasi popular tempatan Upin dan Ipin serta syarikat rakaman kendalian Datuk M. Nasir iaitu Luncai Emas telah mendaftarkan nama dan logo dengan MyIPO untuk dilindungi,” jelas beliau.

Imuda timbulkan isu cap dagang artis

KUALA LUMPUR – Isu hak intelek artis yang bakal menjadi topik perbincangan utama pada simposium bersempena Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO menjadi bertambah hangat apabila isu cap dagang turut ditimbulkan selepas isu hak cipta diutarakan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kelmarin.

Menurut pelawak terkenal, Imuda atau nama sebenarnya Abdul Rahim Muda, artis-artis sepatutnya melindungi karya mereka dengan cap dagang supaya jika timbul sebarang masalah, ia dapat diselesaikan secara profesional.

“Sepatutnya artis-artis kita ada cap dagang mereka sendiri agar apa yang dihasilkan tidak digunakan sewenang-wenangnya oleh orang lain tanpa membayar artis berkenaan,” ujarnya kepada Kosmo! semalam.

Katanya, golongan karyawan tidak harus terus-menerus dipergunakan tanpa mendapat bayaran yang setimpal.

“Tidak perlu bayar hingga jutaan ringgit, memadailah ada habuan diberi di atas penggunaan karya mereka,” katanya.

Beliau turut membidas tanggapan orang ramai kononnya artis-artis yang tampil di dalam iklan adalah golongan kaya.

Tegasnya, ramai yang tidak tahu bahawa artis hanya dibayar untuk penggambaran iklan dan bukannya dibayar setiap kali iklan tersebut digunakan.

Imuda turut mempersoalkan nasib terbiar artis-artis veteran yang tidak mampu lagi meneruskan kerjaya dalam bidang seni.

“Apa salahnya mereka diberi insentif setiap bulan. Apalah sangat RM300 berbanding jutaan ringgit yang diperoleh syarikat televisyen daripada pengiklan,” tegasnya.

Dalam pada itu, dua artis muda, Amanda Imani dan Ahmad Nubhan Ahamad turut menyambut baik penganjuran Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO.

Amanda berpendapat acara itu adalah peluang terbaik untuk artis-artis berinteraksi dengan menteri yang sanggup turun padang bertemu artis bagi membincangkan isu-isu berkaitan hak cipta.

“Saya rasa ini satu usaha murni untuk meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan artis mengenai kepentingan perlindungan harta intelek dan hak-hak mereka,” tambahnya.

Amanda turut menyatakan kekesalannya berhubung sistem bayaran yang masih tidak sistematik sehingga menyebabkan artis menunggu lama untuk mendapat bayaran.

Nubhan pula berpendapat, simposium yang akan diadakan sempena Hari Himpunan Bintang tersebut dapat membantu artis baharu daripada teraniaya.

Katanya, mereka yang baru terjun ke dunia hiburan kadang-kadang begitu teruja untuk bergelar artis sehingga mudah diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menyentuh mengenai artis veteran, Nubhan merasakan royalti daripada lagu dan filem perlu dipelihara supaya golongan berkenaan mendapat pulangan yang berterusan.

“Perlu diingatkan, mereka bukan berkarya untuk kepentingan sendiri mahupun populariti malah mereka memperjuangkan industri seni tanah air yang membawa nama Malaysia ke persada dunia,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: