GEMBIRA...kanak-kanak diajar menari sebagai salah satu aktiviti seni mereka.
KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah kanak-kanak ini tatkala memasuki bilik multi sensori di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) San Peng, Kuala Lumpur.
Jika dilihat secara kasar, bilik ini hanya menempatkan peralatan permainan untuk kanak-kanak seperti bola, kerusi, meja dan sejenis tilam yang digunakan untuk melompat.
Namun, sebaik saja sistem audio visual dihidupkan, bilik yang pada mulanya tidak ‘bermaya’ bertukar menjadi ruang yang sangat ceria dan begitu mengasyikkan. Latar muzik yang indah, bunyi-bunyian alam dan sinaran lampu pelbagai warna menghasilkan kesan gambar bukan saja mewujudkan keseronokan dan ketenangan, malah mampu merangsang sistem motor halus dan kasar terutama bagi kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) yang menghadapi masalah autisme, epilepsi, masalah pembelajaran, sindrom Down, hiperaktif dan 'global delay'.
Kanak-kanak dibiarkan melakukan apa saja. Ini kerana bilik selamat ini dibina dengan lantai dan dinding lembut agar dapat mengawal pergerakan kanak-kanak, sekali gus memberi peluang kepada mereka bergerak bebas sambil menggunakan peralatan di dalamnya.
Menurut Penyelia PDK San Peng, Habibah Abd Ghaffar, pendekatan menggunakan bilik multi sensori adalah antara kaedah berkesan untuk merangsang perkembangan minda kanak-kanak OKU menerusi lima rangsangan asas iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rangsangan sendi. Dengan mewujudkan keadaan seperti itu, ini dapat memberi keselesaan dan ketenangan emosi kepada kanak-kanak istimewa yang berada di dalamnya.
“Bilik ini juga adalah satu terapi alternatif bagi menggalakkan penumpuan, tindak balas keyakinan diri, ketenangan, ketegangan otot, perubahan tingkah laku dan perkembangan mereka.
“Bilik yang sudah lama digunakan di negara maju ini direka khusus untuk merangsang kanak-kanak OKU melalui penggunaan kesan lampu, warna, muzik dan sentuhan yang berbeza-beza pada material dinding dan lantai yang dapat membantu merangsang pemikiran kanak-kanak terbabit,” katanya.
Apabila mereka memegang, menyentuh, merasa, mencium dan mendengar, ini akan memberi tindak balas bagi semua deria rasa ini, sekali gus diluahkan secara spontan.
Bagi tenaga pengajar dan petugas PDK San Peng, Nor Fadilah Osman, walaupun terdapat 30 kanak-kanak di PDK, tetapi hanya lapan saja yang aktif menggunakannya manakala pada satu-satu masa, hanya dua kanak-kanak dibenarkan berada di dalam bilik multi sensori dalam jangka masa 30 minit saja. Ini bagi mengelak mereka khayal (seakan seperti mengambil dadah) sekiranya terlalu lama berada di situ.
“Keadaan yang sama turut dialami individu normal yang pada mulanya akan berasa tenang, namun sekiranya melebihi 30 minit mungkin mereka akan pening atau muntah disebabkan kesan sensori yang dikeluarkan,” katanya.
Apa yang dikatakan Nor Fadilah ini benar kerana penulis yang berada selama 30 minit berasa pening ketika berada di dalam bilik ini.
Menurut Nor Fadilah, kesan daripada cahaya yang berubah-ubah akan merangsang motor kasar seterusnya memberi perubahan positif. Walaupun kesannya mungkin sedikit, perubahan diberikan memberi harapan kepada ibu bapa untuk lebih bersemangat memberi pendidikan kepada anak-anak OKU mereka.
“Bilik multi sensori sangat berkesan membantu kanak-kanak hiperaktif untuk lebih memahami seterusnya mengurangkan tahap kecergasan mereka. Begitu juga bagi kanak-kanak autisme atau sindrom Down yang membantu mereka untuk lebih memahami persekitaran bagi membolehkan mereka memegang objek atau memahami maksud sesuatu perkataan. Biasanya kanak-kanak yang tidak mampu memegang dapat melakukannya setelah beberapa kali memasuki bilik ini,” jelasnya.
Penggunaan kaedah ini juga dapat membantu tenaga pengajar dan penjaga merangsang proses pembelajaran serta merekodkan tahap pembelajaran kanak-kanak untuk disemak dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Ini membolehkan mereka menjalani dua jenis terapi dalam satu masa iaitu terapi mental dan fizikal melalui rawatan Terapi Multi Sensori yang memberi penekanan
kepada sistem motor halus dan motor kasar dalam anggota badan golongan istimewa terbabit. Dalam hal ini, kanak-kanak akan menggunakan peralatan secara berkala dan berjadual bagi membolehkan proses pemulihan dijalankan secara berperingkat.
“Bilik ini dapat membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah pertuturan atau gangguan pembelajaran kerana penggunaan warna, gambar dan bunyi membantu mereka menyebut perkataan dengan betul dan jelas. Malah, selepas keluar dari bilik, apa yang dialami akan dapat dipraktikkan di luar terutama ketika bersama keluarga,” katanya.
Bagi Penyelaras Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kuala Lumpur, Mohd Eaddy Afkam Khalid, ibu bapa yang memiliki anak-anak OKU tidak seharusnya malu atau ‘menyimpan’ anak mereka
di rumah. Ini kerana program PDK di seluruh negara bertujuan memberi pendedahan kepada golongan istimewa supaya mereka tidak diasingkan keluarga, rakan dan masyarakat seterusnya memberi peluang mendapat pendidikan yang sama.
“Dulu ibu bapa sering malu dan membiarkan anak-anak istimewa ini di rumah. Mereka tidak dihantar ke sekolah kerana ibu bapa tidak tahu jenis pembelajaran yang sesuai untuk mereka.
Namun dengan adanya PDK, keluarga yang mempunyai anak-anak terencat akal, sindrom Down serta
autisme memperoleh pembelajaran spesifik terutama bagi ibu bapa yang tidak dapat menempatkan anak-anak mereka di mana-mana pusat pemulihan kanak-kanak kelainan upaya,” katanya.
Ada ibu bapa yang kurang faham dan beranggapan anak-anak OKU harus melakukan terapi fizikal saja, tetapi sebenarnya mereka memerlukan kedua-duanya iaitu fizikal dan sosial. Walaupun harapan untuk mereka melakukan perkara yang sama seperti kanak-kanak normal lain adalah tipis, sekurang-kurangnya mereka boleh menguruskan diri sendiri seperti memakai baju, mandi dan makan tanpa mengharapkan bantuan ibu bapa.
“Namun, ibu bapa harus menghantar anak-anak istimewa ini pada usia muda bagi membolehkan mereka diberi pendedahan awal. Buang rasa malu, bimbang atau takut kerana perkembangan anak-anak dan masa depan mereka paling utama.
“Mereka bukan setakat diberi terapi fizikal, tetapi melakukan aktiviti bersukan, menari, melukis serta akademik seperti membaca, mengira dan menulis.
Jika dilihat, semua aktiviti ini menjadi kesukaan mereka sehingga ada yang mampu menari dan melukis dengan baik,” katanya.
Di setiap cawangan PDK, kelas diadakan bermula dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dengan setiap pelatih diberikan elaun kedatangan RM150 seorang manakala bagi pelatih yang menjalani rawatan fisioterapi di rumah menerima RM50 seorang.
Peralatan di bilik multi sensori di seluruh negara disumbang�kan syarikat Procter & Gamble (Malaysia) Sdn Bhd dengan kos melebihi RM20,000. �Sehingga kini, syarikat itu sudah menderma hampir RM6 juta bagi program ini yang mana ia memberi faedah dan kebaikan kepada lebih 5,000 kanak-kanak istimewa di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: