Wednesday, June 29, 2011

Ukur jari pada bola sendiri




LELAKI itu kelihatan seperti menunggu kehadiran seseorang di premisnya yang terletak di tingkat dua pusat beli-belah Endah Parade, Bandar Baru Sri Petaling, Selangor. Sesekali matanya melirik ke arah jam tangan yang dipakainya.

“Sudah pukul 3.30 petang, kejap lagi sampailah,” getusnya di dalam hati.

Sambil menunggu, Nor Azmi Ismail, 43, memerhatikan persekitaran ruang premisnya, My Pro Shop yang baru beroperasi pada Mei lalu.

Dia sendiri tidak menyangka minat yang mendalam terhadap sukan boling sejak usia 17 tahun membolehkannya bergelar usahawan dalam bidang yang jarang-jarang dikuasai oleh kaum Melayu itu.

Satu ketika dahulu, dia pernah bekerja dalam bidang pembinaan, namun disebabkan komitmen terhadap keluarga memaksanya untuk berhenti kerja.

Cintanya kembali bertaut terhadap boling, tetapi bukan sebagai atlet profesional sebaliknya pembantu kedai dan penebuk lubang bola boling (driller) di beberapa premis boling di ibu negara.

Bekerja di bawah driller berpengalaman, pemain dan jurulatih boling negara seperti Alex Lew dan Ben Heng menyebabkan dia bertekad untuk membuka perniagaan sendiri pada tahun 2007 di Cosmic Bowl Mid Valley.

Sejak itu, rutinnya agak padat. Hampir saban hari dan minggu jadualnya dipenuhi temu janji bersama pelanggan. Menguruskan dua premis My Pro Shop serentak di dua lokasi yang berasingan nyata sedikit memenatkan.

Ibarat kata pepatah, alah bisa tegal biasa, anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu rela melakukannya. Lagipun dia sudah berpengalaman hampir sedekad dalam bidang itu dan mempunyai pelanggan setia yang sentiasa menagih khidmat dan kepakarannya.

Pintu yang tiba-tiba terbuka bagaimanapun mematikan lamunannya. Pelanggan yang ditunggu-tunggunya hadir seperti yang dijanjikan.

Tanpa berlengah, Nor Azmi bersama seorang kakitangannya, Azrul Azidi Alias, 26, memulakan tugas. Ukuran jari pelanggan diambil menggunakan peralatan khas, dikenali sebagai ball fitter untuk menentukan jarak antara jari, sudut lubang dan kedalaman lubang jari pada bola.

Kesemua maklumat itu kemudiannya ditandakan pada bola, sebelum ia ditimbang dengan menggunakan penimbang khas untuk menentukan side weight, single weight, thumb weight, top weight dan sebagainya.

Selepas semua bacaan diambil dikira, barulah proses terakhir dilakukan iaitu menebuk bola dengan mesin.

“Lazimnya, beginilah proses menebuk bola boling. Saya akan bertanyakan beberapa maklumat penting pelanggan seperti berat badan, tangan mana yang digunakan, teknik balingan serta kondisi permainan mereka.


Ball fitter digunakan untuk mendapatkan ukuran jari yang tepat.


“Selepas itu, barulah saya mencadangkan jenis bola yang sesuai berdasarkan pengiraan yang telah dilakukan,” katanya sambil menambah kebanyakan bola boling diimport dari negara seperti Amerika Syarikat, Mexico, China dan Korea Selatan.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, pengiraan dan ukuran perlu dilakukan dengan teliti kerana setiap bola dan pemain mempunyai ciri-ciri yang berbeza antara satu sama lain.

Material bola

Ceritanya, walaupun setiap bola kelihatan hampir sama pada pandangan mata kasar, namun ia dibezakan melalui pemberat dan material yang digunakan semasa proses pembuatannya.

“Misalnya, bola bagi balingan straight mempunyai permukaan yang lebih licin dan berkilat, beratnya pula sekitar lima hingga tujuh kilogram dan materialnya lebih lembut untuk memberi lebih impak terhadap pin. Kedudukan lubang pada jari pula adalah berdasarkan cengkaman konvensional.

“Begitu juga dengan bola untuk balingan spinner atau balingan hooked, berat, saiz, kedalaman lubang jari dan sudut yang berbeza antara satu sama lain,” jelasnya.

Nor Azmi berkata, terdapat dua jenis material yang digunakan pada bola boling iaitu jenis polister dan reaktif dan digunakan mengikut kesesuaian dan keadaan gelanggang.

“Penggunaan bola polister digunakan bagi peringkat permulaan manakala bola reaktif pula sering digunakan di peringkat lebih tinggi seperti entry level sehingga ke high performance.

“Umumnya, bola reaktif memberikan impak yang lebih baik berbanding bola polister, namun ia juga bergantung kepada kemahiran pemain, keadaan gelanggang dan aksesori yang digunakan,” ujarnya.

Beliau memberitahu setiap bola dijual pada harga di antara RM200 hingga RM800 bergantung kepada jenis dan jenamanya.

Seorang pelanggan tetap Nor Azmi, Zanilatun Kamariah Zakaria, 36, mengakui pemilihan dan penggunaan bola yang sesuai penting dalam mendapatkan mata tertinggi dalam setiap permainan.


AZMI yang pernah bekerja sebagai penebuk bola boling akhirnya nekad untuk mengusahakan bisnes kedai bolingnya sendiri sejak empat tahun.


“Dulu saya juga agak kabur mengenainya. Apabila sudah lama berjinak-jinak di dalam sukan ini barulah saya tahu mengenai berat bola, jenis bola, teknik balingan dan keadaan gelanggang penting untuk mendapatkan balingan yang sempurna.

“Jika tidak, ia bukan sahaja merosakkan permainan, malah berkemungkinan menyebabkan kecederaan pada jari atau tangan,” katanya yang menetap di Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor.

Kakitangan sebuah bank tempatan itu memberitahu, kehadiran driller profesional seperti Nor Azmi memudahkan pemain boling amatur sepertinya mendapatkan tip dan ciri-ciri bola yang dikehendaki.

“Selain mendapatkan perkhidmatan menebuk lubang bola, premisnya juga menawarkan perkhidmatan lain seperti mengilat bola di samping menjual pelbagai aksesori berkaitan.

“Apa yang pasti, sekarang terdapat pelbagai pilihan jenama dan jenis bola di pasaran. Setidak-tidaknya perkembangan ini dapat membantu pemain meningkat tahap permainan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: